Kolam renang awam masih lengang

KUALA LUMPUR: Meskipun kolam renang awam mula dibuka hari ini, tidak ramai 'kaki renang' yang mengambil kesempatan hadir ke premis itu selepas ditutup lebih tiga bulan sejak 18 Mac lalu.

Tinjauan BH di Kompleks Renang Kuala Lumpur di Cheras, hari ini mendapati hanya empat individu yang hadir melepaskan 'gian' berenang apabila premis itu mula dibuka pada jam 2 petang.

Walaupun individu yang hadir masih sedikit, Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur (KLASA) yang menguruskan kompleks renang itu, tetap mengambil serius aspek prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan.

Tinjauan mendapati setiap individu yang masuk ke kompleks itu perlu melalui pemeriksaan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod QR, selain tangan dan tapak kasut disembur cecair nyah kuman.

Penolong Setiausaha Kehormat KLASA, Nancy Yap, berkata bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi, operasi kompleks renang itu diagihkan kepada tiga sesi bermula jam 2 petang hingga 7 malam, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, setiap sesi dihadkan selama satu jam sahaja dengan hanya 10 individu dihadkan berada dalam kolam renang pada satu masa, manakala satu daripada dua sesi itu pula dikhaskan untuk sesi atlet terjun dan renang Kuala Lumpur.

"Pada hari pertama ini, mungkin orang ramai masih bimbang untuk datang ke sini, namun kami memberi jaminan akan sentiasa patuh dengan SOP.

"Dalam tempoh PKPP, kami tidak membuka kolam renang cetek yang khas untuk kanak-kanak kerana sukar untuk mengawal penjarakan sosial, dan tidak menggalakkan mereka yang tidak mahir berenang datang buat masa ini," katanya.

Pengunjung, Mohamad Ruslan Ujang, 57, melakukan aktiviti renang selepas kerajaan membenarkan kolam renang dibuka kepada orang awam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan di Kompleks Renang Kuala Lumpur hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pengunjung, Mohamad Ruslan Ujang, 57, melakukan aktiviti renang selepas kerajaan membenarkan kolam renang dibuka kepada orang awam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan di Kompleks Renang Kuala Lumpur hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Tinjauan BH mendapati sesi latihan atlet renang Kuala Lumpur yang bermula jam 3.30 petang hari ini, juga mematuhi SOP sama dengan pengunjung awam.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohamad Ruslan Ujang, 57, bersyukur kerana dapat melepaskan 'ketagihan' berenang selepas hampir tiga bulan berada di rumah.

"Saya memang kerap datang berenang di sini sebelum PKP untuk menjaga kesihatan dan mahu kekal cergas, dan kebiasaannya berenang selama satu jam tanpa berhenti.

"Sejak PKP, memang rindu mahu berenang, apatah lagi banyak masalah kesihatan sekarang. Alhamdulillah, dapat juga berenang lapan pusingan hari ini," katanya.

Mohamad Ruslan yang juga pemandu pelancong, mengakui tidak tahu bahawa kompleks renang itu mengehadkan sejam kepada setiap orang dan hanya mencuba nasib selepas maklum kolam renang awam mula dibuka hari ini.

"Sesi berenang dalam tempoh PKP ini agak seronok kerana tidak ramai orang, satu laluan itu saya seorang, berbanding sebelum ini apabila kolam sesak dan kadang-kadang terlanggar orang ketika berenang.

"Namun, saya berpandangan 10 orang untuk satu sesi terlalu sedikit dan boleh ditambah kepada 20 orang untuk kolam bersaiz Olimpik seperti ini," katanya.



Sumber : Kolam renang awam masih lengang

Post a Comment

0 Comments