KARACHI: Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) menggantung Syarikat Penerbangan Antarabangsa Pakistan (PIA) selama enam bulan daripada terbang di Kesatuan Eropah (EU) berikutan hampir satu pertiga juruterbangnya memiliki lesen palsu atau meragukan.
EASA juga tidak dapat memastikan sama ada semua juruterbang PIA memiliki kelayakan selain hilang keyakinan terhadap syarikat penerbangan itu, menurut jurucakap PIA, Abdullah Khan kepada AFP.
EASA terpaksa menggantung PIA dan syarikat penerbangan swasta kecil lain memandangkan siasatan yang dilaporkan di Parlimen Pakistan mendedahkan bahawa sebahagian besar lesen juruterbang yang dikeluarkan di Pakistan tidak sah.
Siasatan itu mendapati 262 daripada 860 juruterbang aktif Pakistan memegang lesen palsu atau menipu semasa peperiksaan, yang mana kebanyakannya bertugas dengan PIA.
Malah, tindakan itu juga berikutan kebimbangan EASA berkenaan kemampuan pihak berkuasa untuk memastikan pengendali udara Pakistan mematuhi piawaian antarabangsa setiap masa.
Bulan lalu, satu nahas penerbangan domestik berlaku di Karachi atas kecuaian juruterbang sehingga mengorbankan 98 penumpang.
Baru-baru ini, PIA meneruskan tempahan untuk lima ibu kota Eropah termasuk Paris, Milan dan Barcelona.
Sementara itu, Perdana Menteri, Imran Khan, berkata beliau akan memperbaharui PIA dan institusi kerajaan lain memandangkan tiada pilihan lain.
Menteri Persekutuan untuk Penerbangan, Ghulam Sarwar Khan, berkata pembaharuan yang bertujuan untuk menyusun semula PIA akan selesai pada akhir tahun ini. - AFP
Sumber : EU gantung PIA kerana skandal lesen palsu juruterbang
0 Comments