Pengusaha padang komersil rayu pertimbangan kerajaan

KUALA LUMPUR: Apa nasib pengusaha padang bola sepak komersil ketika ini?

Selepas beberapa industri lain sudah mula dibuka berperingkat, namun industri sukan khususnya yang membabitkan sentuhan seperti bola sepak masih lagi tidak mendapat kebenaran untuk beroperasi sekali gus menimbulkan kegusaran terhadap survival pengusaha padang bola sepak komersil untuk masa akan datang.

Hampir empat bulan tidak beroperasi sejak Mac lalu dan sekiranya situasi ini berterusan, tidak mustahil akan ada pengusaha padang bola sepak komersil yang terpaksa 'gulung tikar' meskipun jutaan ringgit sudah dilaburkan sebelum ini.

Menyuarakan kebimbangan itu, Pengarah Urusan Enervive Assets Sdn Bhd, Syafiq Musa mengakui mereka berada dalam situasi yang sukar ketika ini sekali gus mengharapkan kerajaan dapat memberi pertimbangan dengan memberi kebenaran kepada acara bola sepak sosial dan rekreasi untuk dimulakan semula.

"Dalam industri ini yang turut membabitkan pembangunan bola sepak akar umbi, banyak pihak yang terbabit dan susulan COVID-19, sudah pasti mereka turut terjejas. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dianggarkan semua pihak mengalami kerugian yang besar.

"Malah kami juga mengalami kerugian mencecah tujuh angka kerana tiada langsung tempahan dan pendapatan sejak Mac lalu. Kalau ikut pengumuman yang dibuat, mungkin ia akan dibincangkan selepas PKP Pemulihan (PKPP) tetapi kami tidak boleh menunggu sehingga 31 Ogos.

"Jadi, kami mengharapkan pengusaha padang bola sepak komersil akan dibenarkan beroperasi semula dan kalau boleh, kami merayu ia dibenarkan secepat mungkin. Ini bukan sahaja untuk kami tetapi untuk semua pengusaha padang bola sepak komersil di negara ini.

"Selepas mendapat kebenaran, kami sedia mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi akaun Twitternya menjelaskan pihaknya mengambil maklum mengenai situasi yang sedang dihadapi pihak terbabit dan kini sedang mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Saya memahami keresahan yang dihadapi pengusaha-pengusaha padang dan gelanggang komersil serta akademi membabitkan sukan bola sepak dan futsal.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menggembleng usaha untuk membawa SOP ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk persetujuan dan akan menghoskan satu sesi libat urus bersama industri dalam masa yang terdekat," katanya.



Sumber : Pengusaha padang komersil rayu pertimbangan kerajaan

Post a Comment

0 Comments