
KUALA LUMPUR: Petinju kebangsaan, Muhamad Fuad Mohd Redzuan berharap proses pemilihan jurulatih asing diselesaikan segera supaya wakil negara dapat menyesuaikan diri dengan kaedah latihan baharu.
Atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 29 tahun itu berkata, penting buat skuad negara menggunakan dengan baik tempoh ketiadaan kejohanan di peringkat antarabangsa pada masa ini membentuk keserasian dengan jurulatih, sebelum mula menyertai saingan kompetitif bermula tahun depan.
"Saya rasa kemungkinan besar kita memerlukan sehingga enam bulan untuk mendapatkan keserasian, jadi lebih cepat beliau datang, lebih baik. Sementara tiada kejohanan, kita boleh serasikan dengan teknik dan skil beliau," katanya selepas majlis menandatangani kontrak atlet tinju kebangsaan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di MSN Keramat, di sini, hari ini.
Muhamad Fuad turut berpendapat pemilihan jurulatih dari Uzbekistan atau Cuba lebih sesuai untuk meningkatkan prestasi tempurnya, berbanding Kazakhstan kerana jurulatih dari negara berkenaan mempunyai kombinasi teknik yang lebih banyak.
Terdahulu, Timbalan Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM), Mohd Iruan Zulkifli berkata pihaknya sedang berbincang dengan MSN untuk memilih calon yang sesuai selepas menyenarai pendek empat calon dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Cuba, di mana proses itu dijangka selesai pada pertengahan bulan depan.
Muhamad Fuad membuat keputusan bertukar ke kategori 52kg selepas 11 tahun beraksi dalam kategori 49kg dalam usaha mencuba nasib bagi kelayakan Olimpik, memandangkan kategori rendah tidak disenaraikan bagi Olimpik.
"Saya perlu kerja lebih keras untuk tingkatkan prestasi sebab saya berada di kategori baharu, yang lebih berat berbanding sebelum ini. Saya kena tingkatkan ketahanan, kekuatan dan teknik dalam kategori ini.
"Pada masa sama, latihan dan kejohanan luar negara sangat penting untuk menguji kekuatan saya dan menilai kebolehan pihak lawan dalam kategori ini," katanya.
Muhamad Fuad yang telah beraksi pada Sukan SEA selama enam kali bermula edisi 2009 di Laos, meraih pingat emas di temasya Kuala Lumpur 2017, namun terpaksa berpuas hati dengan gangsa di Filipina pada tahun lepas.
-- BERNAMA
Sumber : Lantik segera jurulatih tinju baharu
0 Comments