Najib akur sebarang keputusan UMNO

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak bersedia berdepan sebarang keputusan UMNO, susulan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman terhadapnya atas tujuh pertuduhan dikaitkan dengan SRC International Sdn Bhd.

Bekas Presiden UMNO itu menyifatkan pendirian secara terbuka sedemikian selari prinsip yang diamalkan dirinya, selain sebahagian daripada tanda kesetiaan terhadap parti.

"Tak tahu (apa yang akan diputuskan UMNO), tapi saya ini orang parti, jadi saya akan patuh kepada keputusan parti," katanya kepada pemberita, selepas selesai mendengar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan Ahli Parlimen Pekan itu dipenjarakan selama 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini dilaporkan berkata parti akan mengambil keputusan politik yang besar berikutan keputusan mahkamah berkenaan.

Ditanya gesaan supaya UMNO harus 'menutup buku lama dan membuka lembaran baharu, Najib menyifatkan ia adalah kenyataan individu dan bukan mewakili parti.

Katanya, pendirian ahli UMNO lain mungkin berbeza dengan hala tuju sedemikian, sekali gus selari prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sistem parti.

"Beliau hanya seorang individu, orang lain mungkin ada pendirian berbeza," katanya merujuk kepada kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mengulas percaturan selanjutnya, Najib berkata pasukan peguamnya akan memfailkan rayuan kes dalam tempoh terdekat supaya keputusan berupaya dipertimbangkan tiga hakim, berbanding seorang hakim di Mahkamah Tinggi.



Sumber : Najib akur sebarang keputusan UMNO

Post a Comment

0 Comments