PRK DUN Slim: PN Perak sepakat beri laluan calon UMNO

KAMPAR: Perikatan Nasional (PN) Perak sepakat memberikan laluan kepada calon daripada UMNO untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Keputusan itu dimaklumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hari ini.

"Alhamdulillah, semua parti dalam PN bersepakat untuk hanya menghantar seorang wakil.

"Tidak akan ada pertembungan kerana kita bersepakat hendak memberi pencalonan kepada UMNO. Justeru, kita akan memberikan sokongan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Notis 5A dan hak milik kepada 99 peserta Rancangan Perkampungan Tersusun dan 57 peserta Rancangan Pertanian Berkelompok Daerah Kampar, di Arena Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Kampar, di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, BERSATU sekali gus akan turun padang membantu calon PN berkempen pada PRK itu.

Beliau berkata, parti dalam PN juga sudah mula membincangkan gerak kerja untuk bekerjasama memastikan sokongan rakyat kepada calon yang diketengahkan nanti. – BERNAMA



Sumber : PRK DUN Slim: PN Perak sepakat beri laluan calon UMNO

Post a Comment

0 Comments