Pelajar meninggal dunia bukan sebab COVID-19

KUALA KANGSAR: Kementerian Kesihatan mengesahkan pelajar Tingkatan Tiga yang meninggal dunia selepas pengsan di dalam kelas pada Rabu lalu, disahkan negatif COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata keputusan itu diketahui selepas bedah siasat serta ujian calitan pada mayat si mati.

"Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan kimia sebelum dapat umumkan sebab kematiannya," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Kangsar, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Chan Chaw Min dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Zulakmal Sufian.

Dr Adham mengulas kematian pelajar terbabit yang dikatakan pengsan ketika di dalam kelas walaupun tahap kesihatannya dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang gejala COVID-19.

Sementara itu, Dr Adham berkata, kementerian setakat ini tidak mempunyai bukti pemakaian pelitup muka akan menjejaskan kesihatan seseorang akibat sukar mendapat oksigen seperti dakwaan sesetengah pihak.

"Kementerian menolak dakwaan itu kerana doktor yang menjalankan pembedahan tidak mengalami masalah kekurangan oksigen walaupun memakainya dalam tempoh berjam-jam ketika pembedahan dijalankan," katanya.

Beliau berkata, kementerian turut menggalakkan pelajar memakai pelitup muka di sekolah walaupun diberi kelonggaran dan tidak diwajibkan lagi seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Katanya, kementerian menyedari masalah ditanggung ibu bapa yang perlu menanggung kos membeli pelitup muka untuk kegunaan setiap anak yang bersekolah.

"Kita faham masalah dihadapi ibu bapa terpaksa membeli pelitup muka. Justeru, kementerian dijangka mengumumkan harga baharu pelitup muka pada 10 Ogos nanti," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya terus mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa sehingga 31 Ogos ini.



Sumber : Pelajar meninggal dunia bukan sebab COVID-19

Post a Comment

0 Comments