Pelajar UA, penganggur dicekup di KLIA

SEPANG: Dua lelaki ditangkap secara berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) disyaki cuba menyeludup syabu seberat 11.632kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM440,000, 22 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner, Zulkifli Adamshah, berkata kedua-dua mereka yang berasal dari Sarawak dipercayai menerima upah RM600 sekilo bagi setiap dadah yang dibawa masuk ke negeri itu dari Selangor daripada sindiket yang sama.

"Sindiket dadah berkenaan dipercayai beroperasi di Sarawak. Dianggarkan dadah itu untuk pasaran negeri itu dan dijual pada harga RM400 sekilo serta boleh digunakan oleh 500,000 pengguna.

"Berdasarkan maklumat, mereka dalam perjalanan ke Sarawak dengan penerbangan sama," katanya pada sidang media ibu pejabat Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Bangunan Pengurusan Malaysia Airport di KLIA di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, suspek pertama seorang penganggur berusia 22 tahun ditangkap di kawasan perlepasan klia2 dengan barang rampasan iaitu lima bungkus teh cina yang disyaki berisikan dadah jenis syabu seberat 5.293 kilogram (kg) bernilai RM200,000.

Suspek kedua seorang penuntut (UA) berusia 19 tahun pula ditahan pada 4.15 petang hari yang sama. Pemeriksaan menemukan enam bungkusan teh cina yang disyaki berisi syabu dengan berat 6.341kg bernilai RM240,000.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Dua suspek berkenaan direman bermula semalam sehingga 29 Julai ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.



Sumber : Pelajar UA, penganggur dicekup di KLIA

Post a Comment

0 Comments