Penempatan misteri ditemui di Kampung Wai

KANGAR: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis menemui sebuah penempatan sementara yang dipercayai digunakan untuk mencari harta karun dan kegiatan tidak bermoral, di kaki Bukit Putih, Kampung Wai, Kuala Perlis.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata kawasan penempatan itu dikesan AKSEM Perlis ketika membuat rondaan rutin pada Mac lalu dan dipercayai sudah ditinggalkan hampir setahun.

Katanya, ada kesan penempatan sementara di kawasan itu seperti telaga, paip, tempat berkumpul, pondok kecil dan barang-barang seperti pinggan yang menunjukkan kehadiran ramai wanita.

Turut ditemui terowong kira-kira enam meter yang dipercayai digali bagi mencari barang berharga seperti harta karun dan emas.

"Polis tidak menolak kemungkinan terowong berkenaan digali mereka yang berpengalaman dalam menghasilkan terowong berdasarkan hasil kerja yang tersusun, kemas dan teratur," katanya ditemui melawat kawasan terbabit, petang semalam.

Surina yang meninjau kawasan sekitar penempatan terbabit dianggarkan seluas satu kilometer persegi, mengarahkan anggota polis membuat rondaan berkala di sekitar kawasan berkenaan.

"Walaupun tiada tanda-tanda terowong ini digunakan untuk tujuan penyeludupan, pihak AKSEM akan terus melakukan pemantauan berikutan kedudukannya strategik iaitu berdekatan sungai dan tidak jauh dari sempadan," katanya.

KAWASAN penempatan sementara yang dipercayai sudah ditinggalkan setahun lalu. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
KAWASAN penempatan sementara yang dipercayai sudah ditinggalkan setahun lalu. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Sumber : Penempatan misteri ditemui di Kampung Wai

Post a Comment

0 Comments