Pesakit asing perlu pulang selepas rawatan

KUALA LUMPUR: Warganegara asing yang datang ke Malaysia bagi tujuan pelancongan kesihatan, kini tidak dibenarkan membuat aktiviti sampingan seperti melancong sebaliknya perlu terus pulang ke negara asal selepas selesai rawatan.

Syarat itu termasuk dalam prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha mengekang sebarang risiko penularan COVID-19 membabitkan kluster import.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Sherene Azli, berkata SOP itu terpakai sejak 1 Julai lalu apabila kerajaan membuka pintu sempadan untuk pelancongan kesihatan.

"Ia antara SOP ketat bagi memastikan tiada penularan COVID-19 membabitkan kluster ini dan pada masa sama sektor pelancongan kesihatan boleh berjalan semula. Oleh itu, mereka tidak bebas melakukan aktiviti pelancongan dan tempoh ini dilakukan sepanjang COVID-19.

"Sebelum ini, pelancong kesihatan yang berkunjung ke negara ini akan menyumbang kepada ekonomi melalui aktiviti sampingan, namun kini mereka harus terus pulang ke negara asal selepas menjalani rawatan.

"Kita mahu meminimumkan risiko penularan COVID-19 ini selepas pengumuman dibuat kerajaan pada 19 Jun lalu berhubung pembukaan sektor ini, SOP ketat kita laksanakan dengan perbincangan antaranya bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, " katanya kepada BH, di sini hari ini.

Sherene berkata, pesakit warganegara asing yang mahu berkunjung ke negara ini bagi tujuan itu juga harus membuat permohonan dengan MHTC, selain hanya menerima rawatan di 70 hospital yang berdaftar dengan majlis itu.

Beliau berkata, selepas surat kelulusan dikeluarkan MHTC, mereka perlu menjalani ujian COVID-19, tiga hari sebelum memulakan perjalanan dan selepas tiba di negara ini, kemudiannya dikuarantin selama 14 hari di hospital.

"Selepas selesai menjalani rawatan mereka harus membuat ujian COVID-19 kali ketiga dan jika negatif baharu pulang ke negara asal mereka.

"Kita lakukan ini untuk memastikan keselamatan negara dan risiko kes yang diimport.

"Sejak 1 Julai lalu, daripada kira-kira 1,000 permohonan bagi tujuan pelancongan kesihatan di sini, MHTC sudah meluluskan dua kes iaitu membabitkan rawatan barah dari Indonesia dan Timor Leste, " katanya.

Ketika ditanya berhubung risiko salah guna kelulusan pelancongan kesihatan yang diberikan bagi tujuan lain, beliau berkata peratusannya adalah sangat rendah berbanding pelancong biasa.

Beliau berkata, pihaknya cuba membendung isu seperti ini dengan melaksanakan kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Selain itu, bagi negara berisiko tinggi yang memerlukan penggunaan visa, kita akan membuat pemantauan seperti mengiringi perjalanan mereka sepanjang menerima rawatan di sini, " katanya.



Sumber : Pesakit asing perlu pulang selepas rawatan

Post a Comment

0 Comments