KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan suspek yang memukul seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang mana perbuatannya itu dirakam sebelum videonya tersebar di media sosial, hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata siasatan polis mendapati kejadian di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju di sini.
"Kejadian dipercayai membabitkan suspek iaitu seorang lelaki warga Pakistan dan warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangun terbabit.
"Hingga kini tiada sebarang laporan polis diterima daripada mangsa berhubung kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, menerusi rakaman video bertarikh 7 Julai lalu itu, kelihatan suspek menampar dan memukul mangsa yang berpakaian seragam pengawal keselamatan dengan sebatang kayu.
"Kita membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
"Kita turut meminta semua pihak yang terbabit dalam kejadian itu untuk tampil membantu siasatan," katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrul Azzuan Sharom di talian 016-2014334 atau Pegawai Penyiasat Kanan, Deputi Superintendan Stephen Ganeson di talian 016-376 7390.
Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Menerusi video berdurasi 44 saat itu, kelihatan pengawal keselamatan terbabit dipukul berkali-kali dengan kayu dipercayai cota selain ditampar dan ditumbuk oleh suspek.
Kejadian itu menerima kecaman ramai dan beberapa laporan polis turut dibuat oleh pelbagai pihak termasuk pejabat Kedutaan Nepal di Malaysia.
Satu laporan polis berhubung kejadian itu dibuat oleh Persatuan Keselamatan Industri Malaysia (PIKM) di Balai Polis Sentul, hari ini. Laporan dibuat oleh Ahli Jawatankuasa PIKM, Datuk Dr Basant Singh Sidhu pada jam 10 pagi tadi.
Sementara itu, pihak Kedutaan Nepal di Malaysia dalam satu hantaran di laman Facebook hari ni, memaklumkan pihaknya sudah membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Sumber : Polis kesan suspek pukul pengawal keselamatan Nepal
0 Comments