Polis Marin Diraja Thailand sertai SAR

TUMPAT: Misi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa bot terbalik di Perairan Kuala Kemasin Isnin lalu, mendapat kerjasama Polis Marin Diraja Thailand yang membuat pencarian di sekitar Perairan Takbhai.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata kerjasama itu yang bermula sejak hari pertama SAR dilancarkan turut dibantu nelayan Thailand.

"Polis Marin Diraja Thailand mempunyai kepakaran dan pengalaman cukup tinggi dalam skop tugasan mereka dan kita memberi ruang untuk mereka mencari di sektor pencarian tersendiri," katanya ketika ditemui ketika rondaan di sepanjang perairan Sungai Golok di sini, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan (APMM) Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob bersama pegawainya berbincang di atas bot penyelamat 7 APMM Tok Bali untuk memperluaskan kawasan pencarian dua lagi mangsa bot terbalik di Perairan Kuala ketika mengadakan rondaan di sempadan perairan sungai Golok yang merupakan sempadan Malaysia-Thailand. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Pengarah Maritim Negeri Kelantan (APMM) Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob bersama pegawainya berbincang di atas bot penyelamat 7 APMM Tok Bali untuk memperluaskan kawasan pencarian dua lagi mangsa bot terbalik di Perairan Kuala ketika mengadakan rondaan di sempadan perairan sungai Golok yang merupakan sempadan Malaysia-Thailand. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Yang turut hadir adalah Ketua Polis Marin Diraja Thailand (Takbhai), Mejar Polis Thampapol Chauncham.

Beliau berkata, misi SAR yang masuk hari keenam hari ini tidak berubah namun sektor pencarian diubah mengikut arus, situasi laut dan keadaan angin semasa sementara rangkuman carian meliputi tengah lautan serta pesisiran pantai.

"Ia membabitkan 15 bot pelbagai jenis dan saiz dengan keanggotaan seramai 81 anggota dan pegawai.

"Secara keseluruhan setakat hari ini, radius pencarian merangkumi 1,600 batu nautika persegi dan perbincangan lanjut akan terus dibuat.

"Berdasarkan data kajian yang dibuat, dua mangsa yang belum ditemui itu ada kemungkinan menghala ke arah Timur Laut iaitu Pulau Perhentian," katanya.

Beliau berkata dari aspek cuaca, pihaknya sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan kerana perubahan cuaca kerap berlaku termasuk ketinggian ombak serta kekuatan angin yang tidak dapat dijangka.



Sumber : Polis Marin Diraja Thailand sertai SAR

Post a Comment

0 Comments