Rumah 99 Pintu terbakar

NIBONG TEBAL : Banglo kosong atau rumah agam yang dikenali sebagai Rumah 99 Pintu di Jalan Byram, di sini, terbakar dalam kejadian semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.45 petang.

Katanya, ketika tiba di lokasi, di dapati kebakaran membabitkan struktur kayu alang dan lantai rumah berkenaan.

"Terdapat halangan semasa kerja memadamkan api kerana sukar bagi mendapatkan sumber air. Namun, pihak bomba kemudian berjaya mendapatkan bantuan lori tangki air tidak lama kemudian," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya anggaran kemusnahan membabitkan kira-kira 70 peratus.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya lagi.

Rumah agam yang dipercayai dibina pada awal kurun ke-19 itu dikatakan, mempunyai 99 pintu.

Dikelilingi ladang kelapa sawit, rumah berkenaan turut dikaitkan dengan aktiviti paranormal dan mistik.



Sumber : Rumah 99 Pintu terbakar

Post a Comment

0 Comments