
BEIJING: Keupayaan pemantauan dan pemetaan China akan terus meningkat dengan pelancaran satu lagi satelit pemetaan beresolusi tinggi semalam.
Menurut Kementerian Sumber Asli, satelit Ziyuan III sebelum ini sudah membekalkan imej kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan lebih 30 negara, sekali gus meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam perisian aplikasi satelit.
Satelit Ziyuan III 03 dilancarkan ke orbit menggunakan roket Long March-4B dari Pusat Pelancaran Satelit Taiyuan di Wilayah Shanxi, utara China.
Satelit baharu itu akan menyediakan data bagi penyelidikan mengenai sumber tanah negara, pencegahan bencana alam, pembangunan projek pertanian, pengurusan sumber air, tinjauan alam sekitar dan perancangan bandar.
Satelit baharu itu akan bergabung dengan satelit sebelumnya Ziyuan III 01 dan Ziyuan III 02 untuk membentuk rangkaian satelit pemetaan gugusan bintang atau buruj, bagi rakaman beresolusi tinggi, tiga dimensi (3D) dan data pelbagai spektrum.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Sumber Asli China, yang juga pengguna utama satelit Ziyuan III.
Berbanding satelit terdahulu, Ziyuan III 03 mempunyai jangka hayat reka bentuk lebih lama dan resolusi serta ketepatan gambar yang lebih tinggi.
Ia dapat meningkatkan kecekapan sistem pembentukan gambar dan mengurangkan tempoh kemas kini dengan ketara. - AGENSI
Sumber : Satelit baharu China tingkat keupayaan tinjauan, pemetaan
0 Comments