
BALING: Seorang ibu sedang berpantang terpaksa menyelamatkan diri bersama bayi baru lahir ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumahnya ditenggelami banjir yang melanda Kampung Carok Bemban, di sini, awal pagi tadi.
Nurul Natasya Che Husin, 23, berkata mereka berpindah ke PPS kira-kira jam 5 pagi apabila kediaman dinaiki air hingga mencecah paras satu meter.
Beliau berkata, hujan lebat hingga tengah malam tadi menyebabkan air naik dengan cepat berikutan kedudukan rumahnya berhampiran tebing Sungai Ketil.
"Apabila air semakin naik, kami sekeluarga terpaksa berpindah ke tempat selamat kerana bimbang kejadian buruk berlaku.
"Walaupun masih berpantang 39 hari, saya terpaksa berpindah kerana bimbang terperangkap dalam rumah," katanya ketika ditemui di PPS Dewan UMNO Kampung Carok Sikin, hari ini.
Bagaimanapun, Nurul Natasya berkata, beliau bersyukur kerana bayinya tidak meragam seolah-olah memahami keadaan yang berlaku.
Sementara itu, Pengurus PPS terbabit, ShamsulIzrin Isahak, berkata amalan memasak secara bergotong-royong dalam kalangan mangsa banjir di pusat berkenaan, tidak dapat dilakukan buat masa ini.
Beliau berkata, ia sebagai pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan COVID-19.
"Oleh itu, kita membuat tempahan makanan daripada pembekal yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan sebagai langkah mematuhi SOP normal baharu," katanya.
Beliau menegaskan, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tetap perlu mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sumber : Banjir: Ibu dalam pantang selamatkan diri bersama bayi
0 Comments