
LONDON: Sebilangan besar warga United Kingdom (UK) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan sosial selepas sektor perhotelan, pub, restoran kembali dibuka semula selepas tiga bulan ditutup akibat pandemik COVID-19.
Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock, berkata petunjuk awal pembukaan pub di England pada Sabtu tidak memberi tekanan kepada perkhidmatan hospital seperti yang dibimbangkan ramai pihak apabila sekatan dilonggarkan.
Beliau berkata, sebahagian besar masyarakat mematuhi SOP ditetapkan walaupun mengakui ianya sukar dilaksanakan di beberapa kawasan, lapor agensi berita BBC.
"Kita sudah melihatnya di beberapa kawasan dan mengambil tindakan serta langkah yang disasarkan. Jika ia tidak berkesan, kita bersedia sepenuhnya untuk mengambil tindakan seperti yang diambil di Leicester (perintah darurat berikutan kes jangkitan meningkat).
"Kita sentiasa akan pastikan pandemik COVID-19 ini terkawal. Jumlah jangkitan baharu kurang daripada 600 kes pada data terakhir. Jadi ini benar-benar menurun dari segi jumlah kes positif yang kita temui.
"Itu berita baik tetapi kita juga harus memiliki ketahanan dan tekad untuk mematuhinya dan berhati-hati dalam bagaimana kita menikmati kebebasan baru ini," kata Hancock.
Sementara itu, Ketua Polis Persekutuan, John Apter yang melakukan rondaan di bandar Southampton menyatakan individu mabuk mengabaikan SOP dan penjarakan sosial.
Walaupun pelonggaran itu disambut baik ramai pihak, namun terdapat kebimbangan kerajaan UK terburu-buru dalam membenarkan perubahan sekatan.
UK adalah setakat ini merekodkan lebih 286,000 jumlah kes jangkitan COVID-19 dengan 44,000 kematian. - AGENSI
Sumber : Sebahagian besar warga UK patuh SOP, penjarakan sosial
0 Comments