![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/wate_BHfield_image_listing_featured.var_1593688229.jpg)
KUALA LUMPUR: Tanggal 2 Julai setiap tahun menjadi tarikh keramat buat pengamal media sukan di seluruh dunia yang menyambut Hari Wartawan Sukan Sedunia.
Meskipun sejak kebelakangan ini, industri media tanah air berdepan kekangan susulan tindakan pengecilan atau penutupan operasi, sumbangan yang dicurahkan wartawan sukan terutama arus perdana seharusnya tidak dilupakan dan dihargai.
Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Jasni Shafie berkata, pihaknya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wartawan Sukan Sedunia yang diraikan hari ini.
"Sambutan ini diraikan di seluruh dunia hari ini sempena memperingati tarikh penubuhan sebuah persatuan yang menaungi pengamal media sukan seluruh dunia, iaitu AIPS (International Sports Press Association) pada 1924 yang kini disertai lebih 156 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.
"Wartawan sukan di Malaysia berdepan dengan cabaran yang sangat besar, lebih-lebih lagi dengan tindakan pengecilan atau penutupan beberapa operasi media di negara kita yang menyaksikan sebahagian daripada rakan-rakan kita kehilangan pekerjaan tetap," katanya.
Bagaimanapun, Jasni berkata, pihaknya tetap berbangga dengan sumbangan yang dicurahkan dalam membantu pembangunan sukan negara selain memupuk semangat integrasi di antara kaum di Malaysia.
"Kepada kesemua peminat sukan dan masyarakat keseluruhannya, marilah sama-sama kita menghargai sumbangan dan peranan dimainkan wartawan sukan. Di dalam negara kita, sumbangan wartawan sukan juga tidak boleh dinafikan dalam pembangunan sukan negara.
"SAM juga amat menghargai atas ucapan disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini sebagai meraikan sambutan Hari Wartawan Sukan Sedunia – sekali gus membuktikan perhatiannya kepada golongan wartawan sukan di negara ini biarpun baru saja diberikan tugas sebagai peneraju Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," katanya.
Sumber : 'Selamat Hari Wartawan Sukan Sedunia'
0 Comments