71 individu ditahan ingkar arahan PKPP

PUTRAJAYA: Seramai 71 individu ditahan semalam, kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 29 individu ditahan reman manakala 42 lagi dikenakan tindakan kompaun.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 34 individu ditahan kerana aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial, 14 individu lagi melanggar prosedur operasi standard (SOP); aktiviti karaoke atau pusat hiburan (12); aktiviti refleksologi atau urut (tujuh) dan aktiviti pub atau kelab malam (empat).

"PDRM melalui Task Force Operasi Pematuhan membuat 67,229 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP. Sebanyak 4,248 Pasukan Pematuhan membabitkan 16,615 anggota membuat pemantauan di 4,117 pasar raya, 5,819 restoran serta 2,008 penjaja, 1,517 kilang, 3,881 bank dan 1,016 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau ialah 1,263 terminal pengangkutan darat, 234 terminal pengangkutan air serta 120 terminal pengangkutan udara.

"PDRM menahan 71 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP. Daripada jumlah ini, 29 individu direman manakala 42 lagi dikompaun," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, PDRM membuat 66 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 41,775 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutama di lorong tikus.

Beliau berkata, Operasi Benteng yang membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

"PDRM berjaya menahan seramai 16 warga asing kerana kesalahan imigresen. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.



Sumber : 71 individu ditahan ingkar arahan PKPP

Post a Comment

0 Comments