
Pelancongan adalah industri ketiga terpenting negara selepas pembuatan dan komoditi. Namun 3.5 juta pekerja dalam sektor itu terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.
Pada tiga bulan pertama tahun ini sahaja, industri ini kerugian RM9 juta dan meningkat mendadak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Menteri Kewangan pada satu wawancara memaklumkan pelancongan sektor pertama terkesan dengan wabak dan terakhir dijangka pulih. Satu kenyataan menarik, tetapi mencabar.
Menyingkap kesan besar industri ini, kita dikejutkan penamatan operasi beberapa hotel ternama di beberapa bandar besar seperti Melaka, Ipoh, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Alasan utama tempoh PKP yang panjang menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan perniagaan. Kos operasi terpaksa ditanggung, namun tiada keuntungan berikutan tiada pelanggan, terutama apabila sempadan negara ditutup sepenuhnya kepada pelancong asing. Mereka juga memberi alasan tempahan dibuat pelancong asing dibatalkan. Dalam satu laporan, pembatalan tempahan bilik hotel ketika itu mencecah RM58 juta.
Pada masa sama, ramai dibuang kerja atau disuruh mengambil cuti tanpa gaji, atau mengalami pemotongan gaji bulanan. Dalam satu tinjauan, kos gaji pekerja sahaja satu per tiga daripada kos operasi hotel keseluruhannya.
Selain perhotelan, sektor penerbangan tidak terkecuali. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 menjadi tempat parkir segala jenis model kapal terbang bagi ketiga-tiga syarikat penerbangan negara.
Pendekatan sama diambil, iaitu membenarkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji atau pemotongan gaji.
Kerajaan melalui pelan rangsangan ekonomi seperti Pakej Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) memberi beberapa insentif kepada sektor ini.
Antaranya insentif langsung termasuk pengecualian cukai pelancongan sehingga Disember 2020, pembayaran ansuran cukai ditangguhkan dan geran padanan RM100 juta untuk mengekalkan pekerja mereka.
Insentif tidak langsung pula pengecualian cukai individu RM1,000 kepada pembayar cukai yang melancong dalam negara sehingga Disember 2021 dan e-kupon untuk setiap tambang kapal terbang, tambang kereta api dan tempat tinggal untuk pelancongan domestik sahaja.
Walaupun pelbagai insentif diberi kepada sektor ini terutama untuk rakyat Malaysia, permintaan mereka masih diunjur kurang berbanding pelancong luar negara.
Industri pelancongan masih bergantung permintaan luar negara berbanding domestik. Rakyat kita pula masih sangsi untuk melancong dan membawa keluarga, terutama kanak-kanak dan ibu bapa yang berusia.
Yang pasti, sejak kerajaan membenarkan operasi perniagaan bermula, mereka yang bekerja dengan perusahaan dan perniagaan akan membuat perjalanan bagi menguruskan perniagaan. Mereka ini seharusnya menjadi sasaran sektor perhotelan dan pelancongan.
Dengan kata lain, penggiat sektor ini mesti kreatif membuat strategi pemasaran dengan mewujudkan segmen sasaran pasaran bersesuaian penawaran produk dan perkhidmatan diberikan.
Contohnya, persatuan hotel di Langkawi menawarkan diskaun 50 peratus penginapan di pulau itu kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membendung wabak COVID-19.
Cuma menjadi keraguan, setengah syarikat penerbangan domestik seolah-olah mengambil kesempatan menaikkan harga tambang. Ini bertentangan prinsip prihatin kepada rakyat dan sedikit sebanyak membantutkan pemulihan ekonomi untuk sektor pelancongan.
Tidak pasti kenapa penggiat industri tidak menggunakan inisiatif kerajaan digariskan dalam pakej PRIHATIN atau PENJANA sebagai strategi pemasaran untuk memujuk pelancong domestik melalui pengiklanan dan promosi.
Contohnya, kerjasama baharu antara penggiat lain dalam industri ini atau penggiat sokongan seperti syarikat e-hailing, e-dompet, dan ekonomi gig lain mungkin boleh menarik perhatian.
Pakej menggunakan e-hailing ketika bercuti di suatu tempat tanpa menyewa kereta sewa boleh mengurangkan kos perjalanan. Kerjasama hotel penginapan dengan produk pelancongan seperti zoo, taman tema dan sebagainya menggunakan e-kupon diberi kerajaan atau mengguna satu kad pembayaran masuk untuk beberapa produk pelancongan harus difikirkan.
Yang pasti, kebergantungan kepada pelancong asing harus dikurangkan kerana kita masih tidak pasti bila berakhir wabak ini.
Penting juga penggiat industri kreatif dan berinovasi menawarkan produk kepada pasaran tempatan supaya dapat menampung kelangsungan perniagaan mereka, sementara menunggu pintu sempadan Malaysia dibuka kepada pelancong asing.
Penulis adalah Profesor (Pemasaran dan Peruncitan) di Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia
Sumber : Strategi pemasaran kreatif pulih sektor pelancongan
0 Comments