KOTA BHARU: Kerajaan akan melancarkan semula Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Pelancaran semula wawasan itu amat penting berikutan jurang pendapatan antara satu daerah dan negeri yang ketara memerlukan kerajaan bekerja keras untuk merapatkan jurang itu.
Sekiranya perlu, kata Redzuan, kerajaan akan tambah baik dasar-dasar yang sudah diwujudkan sebelum ini bagi mencapai wawasan itu.
"Hari ini kita lihat Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) amat membimbangkan dan kita (kerajaan) kena beri perhatian serius sebab PGK sudah meningkat dari segi paras dan orang dalam kelompok itu …kerajaan mahu tambah baik wawasan ini sebab kita mahu rakyat memahami hala tuju kerajaan dari sudut pembangunan ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sesi Libat Urus Antara Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan Koperasi Negeri Kelantan di sini, hari ini.
WKB2030 beriltizam menjadikan Malaysia sebuah negara terus membangun secara mapan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat pada 2030.
Mengenai sesi libat urus berkenaan, Redzuan berkata, antara objektifnya adalah menyebar luas WKB2030 supaya semua lapisan masyarakat mengetahui dan menjiwai wawasan itu.
"Agensi dan penggerak yang akan bertanggungjawab melaksanakan wawasan ini adalah Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) yang baru ditubuhkan pada awal tahun 2020," katanya.
Terdahulu, beliau menyampaikan Dana Bantuan Khas [email protected] Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kepada lima peladang kontrak yang mengusahakan tanaman herba Tongkat Ali di Jajahan Kuala Krai bernilai RM3,000 seorang. – BERNAMA
Sumber : Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan dilancarkan semula
0 Comments