SITIAWAN: Seramai 53 individu termasuk tiga pekerja restoran di Jalan Central, Sitiawan dikompaun RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kelmarin.
Kompaun itu dikeluarkan ketika anggota polis dari Team Task Force Pematuhan PKPP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diketuai Asisten Superintendan, Heng Kok How dalam operasi bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan, Chong Boo Khim, berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki kerana menghalang polis menjalankan tugas ketika melakukan pemeriksaan di premis itu.
Katanya, mereka yang dikompaun kerana didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal membabitkan 40 lelaki dan 13 wanita, berusia antara 15 hingga 32 tahun.
"Pemeriksaan yang dilakukan atas maklumat awam mendapati seramai 53 orang termasuk tiga pekerja berada dalam restoran berkenaan.
"Restoran itu dihadiri ramai orang sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal selain tidak mengambil langkah pencegahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Sumber : 53 individu dikompaun di restoran
0 Comments