KOTA BHARU: Wanita Kelantan sememangnya gemarkan barangan kemas, khususnya emas sama ada dibeli untuk tujuan dipakai, disimpan atau pelaburan sehingga membuatkan golongan itu tidak pernah berhenti mendapatkannya.
Bagi wanita bangga memilik barangan kemas dan ia boleh disamakan seperti kehendak golongan lelaki rasa gah jika mempunyai kereta mewah.
Membeli emas tidak dianggap suatu pembaziran sebaliknya satu pelaburan jangka panjang kerana jika terdesak barangan itu boleh dijual balik terutamanya ketika harganya melonjak tinggi.
Bagi pengusaha kedai emas di Kota Bharu, Mustaqim Mustofa, 26, berkata, kegilaan wanita terhadap logam berharga itu bukan hanya membabitkan mereka yang bergaji kecil, bahkan taasub memilikinya membuatkan ada sesetengahnya rela mengikat perut, asalkan dapat membeli koleksi diidamkan.
"Meskipun harganya melambung tinggi, namun kedai emas tetap dikunjungi pelanggan yang mahu mendapatkan rekaan terkini di Kelantan. Emas diperdagangkan dalam timbangan tradisi iaitu 'rial berat' bukannya gram.
"Emas mempunyai pelbagai jenis, dan rata-rata penggemar akan memastikan reka bentuk perhiasan yang dibeli tulen dan terbaik.
"Kualiti emas 916 di Kelantan juga dikatakan tidak banyak campuran dengan bahan lain dan disebabkan itulah ia murah, berkualiti dan menjadi rebutan," katanya.
Katanya, kebanyakan tauke kedai emas di sekitar bandar Kota Bharu, beranggapan tempoh moratorium yang diumumkan oleh kerajaan susulan pandemik COVID-19, memberi rezeki kepada mereka apabila kedai emas sentiasa dipenuhi dengan pengunjung daripada pelbagai lapisan umur, kedudukan dan latar belakang.
"Meskipun harga emas melonjak naik hampir setiap hari bermula akhir Mac lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tetap mendapat sambutan dan bukan penghalang wanita di negeri ini membeli sebagai aksesori perhiasan diri.
"Jika sebelum ini, setiap kali Aidilfitri kedai emas dipenuhi pelanggan untuk digayakan di pagi Syawal, tetapi selepas PKP sambutan yang diterima di luar jangkaan.
"Ramai mengakui 'emas Kelantan' menjadi tarikan ramai. Namun, sebenarnya gelaran 'emas Kelantan' tidak membezakan apa-apa pun, sebaliknya kelainannya adalah dari segi harga dan timbangan.
"Saya akui harga emas di Kelantan jauh lebih murah berbanding di negeri lain," katanya.
Berbeza bagi broker emas Roslaili Yusof, 50, yang sudah 22 tahun menjalankan urusan jual beli emas yang dilakukan di kaki lima kedai, kini sudah mempunyai pelanggan tetap yang datang daripada pelbagai tempat untuk menjual barang kemas kepadanya.
"Simpanan emas adalah aset yang paling mudah dicairkan pada bila-bila masa sahaja jika memerlukan duit. Emas kalis inflasi dan nilai emas sentiasa kukuh.
"Kita juga tidak boleh menjangkakan bila harga emas akan naik, namun apabila harga emas naik, ada individu yang menghadapi masalah kewangan akan datang menjual barang kemas mereka demi kelangsungan hidup.
"Justeru, emas salah satu bentuk nilai pertukaran yang diiktiraf bukan sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia. Ia adalah barang yang mudah untuk dijadikan gadaian, namun bergantung kepada kualiti, ketumpatan dan sifatnya tersendiri.
"Tidak hairan, jika ada golongan wanita yang lebih gemar menghabiskan wang membeli barang kemas dengan alasan sebagai pelaburan terbaik dan menguntungkan dalam jangka masa panjang," katanya.
Bagi pembantu kedai, Norhidayah Mohamad, 23, berkata, ada perumpamaan menyatakan, tidak cantik perempuan tanpa emas. Kecantikan wanita terletak pada emas dan ia satu kemestian walaupun hanya memakai sebentuk cincin.
Oleh itu, ramai wanita di negeri ini berpusu-pusu berkunjung ke kedai emas untuk mencari gelang tangan, rantai leher dan cincin yang bersesuaian dengab cita rasa mereka, meskipun harga emas meningkat dari semasa ke semasa.
"Mereka mempercayai kecantikan dan keayuan seseorang wanita akan bertambah apabila menyarung cincin atau gelang tangan reka bentuk terkini.
"Ribuan ringgit yang perlu dihabiskan untuk membeli emas tidak ada sedikit penyesalan terlakar di wajah mereka.
"Apatah lagi pelbagai jenis dan reka bentuk gelang tangan seperti 'tupat dakat', 'biskut tawar' yang menjadi sebutan dan kegilaan wanita pada ketika ini," katanya.
Kakitangan kerajaan, Habsah Ismail, 41, berkata, emas adalah simbol kejelitaan wanita atau dalam dialek Kelantan disebut 'pemanis tubuh' yang biasanya digayakan ketika musim perayaan atau majlis keraian.
"Tidak hairanlah mengapa wanita Kelantan sanggup menghabiskan wang sehingga berpuluh ribu hanya kerana mahu memiliki koleksi yang sentiasa berubah.
"Beli emas tidak rugi. Malah tidak keterlaluan dikatakan, ada yang sanggup menahan nafsu memiliki beg dan baju berjenama, asalkan dapat memiliki emas pilihan mereka.
"Memiliki barang kemas yang banyak bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi ia adalah saham bernilai yang boleh membantu kita ketika dalam keadaan terdesak sekiranya memerlukan kewangan," katanya.
Sumber : 'Gila' emas
0 Comments