Dasar hadkan penggunaan kenderaan ikut nombor pendaftaran dilaksana

JAKARTA: Pentadbiran Indonesia memperkenalkan semula dasar mengehadkan penggunaan kenderaan berdasarkan nombor pendaftaran sebagai langkah mengurangkan trafik ketika pandemik COVID-19 makin meningkat.

Ketua Agensi Pengangkutan Jakarta, Syafrin Liputo, berkata dasar itu bertujuan mengelakkan lambakan kenderaan, sekali gus mengurangkan jumlah orang ramai di tempat awam.

"Kami berharap dasar ini dapat menghalang orang ramai daripada melakukan perjalanan yang tidak perlu. Contohnya kereta dengan nombor pendaftaran ganjil hanya boleh digunakan pada hari tertentu.

"Pola sekatan ini diharap dapat menurunkan jumlah lalu lintas dan paling penting memastikan bahawa tidak akan ada perhimpunan orang ramai di tempat awam," katanya.

Dasar yang dihapuskan oleh pentadbiran ketika COVID-19 dikesan pada Mac lalu, akan diguna pakai terhadap 25 jalan raya bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 9 malam hari ini .

Syafrin menjelaskan, pihak pentadbiran terpaksa melaksanakan semula dasar itu disebabkan trafik semakin meningkat ketika bandar memulakan peralihan dari sekatan sosial skala besar (PSBB).

"Analisis kami menunjukkan kadar trafik di beberapa bandar meningkat luar biasa berbanding sebelum pandemik berlaku.

"Dasar ini dilaksanakan semula kerana pentadbiran Jakarta sudah menghapuskan syarat untuk mendapatkan Permit Masuk dan Keluar (SIKM) bagi perjalanan masuk atau keluar ibu kota ketika PSBB," katanya. - AGENSI



Sumber : Dasar hadkan penggunaan kenderaan ikut nombor pendaftaran dilaksana

Post a Comment

0 Comments