9 jemaah tabligh terkandas di India selamat pulang

PUTRAJAYA: Kumpulan keempat jemaah tabligh rakyat Malaysia membabitkan sembilan individu yang sebelum ini terkandas di Kolkata, India selamat tiba di tanah air menerusi pesawat Air India Express jam 3.11 petang tadi.   

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, dalam satu kenyataan malam ini, berkata semua jemaah tabligh terbabit tidak dikenakan sebarang pertuduhan dan ditempatkan bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan India di Haj House, Kolkata sejak 1 April 2020 bagi menjalani kuarantin yang ditetapkan pihak kerajaan negara itu.

Beliau berkata, setakat ini Kementerian Luar berjaya membawa pulang seramai 124 daripada 189 orang jemaah tabligh yang terkandas di India.      

"Seramai 115 orang jemaah tabligh rakyat Malaysia sebelum ini dibawa pulang menerusi tiga Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) masing-masing pada 17, 22 dan 29 Julai lalu.     

"Sebagaimana tiga kumpulan jemaah tabligh rakyat Malaysia yang pulang sebelum ini, sembilan individu yang pulang hari ini akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin (QS) ditetapkan oleh kerajaan," katanya.      

Kamarudin berkata, ketika ini 65 lagi jemaah tabligh rakyat Malaysia masih berada di India.       

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar berkata, seramai 13 daripada mereka berada di New Delhi bagi menunggu pelepasan dan kebenaran pulang daripada kerajaan India, manakala baki 52 lagi sedang menjalani proses perundangan di beberapa wilayah di India iaitu di Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu dan Maharashtra.     

"Kejayaan misi ini tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama erat diberikan semua agensi kerajaan terbabit, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).        

"Kerajaan Malaysia turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan India, termasuk pihak berkuasa tempatan negara itu yang membolehkan kepulangan jemaah tabligh kita.        

"Selaras komitmen Malaysia dalam membantu jemaah tabligh rakyat Malaysia terkandas negara itu, Kementerian Luar menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India akan terus memantau isu ini secara rapat dan memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara," katanya.     

Pada masa sama, Kamarudin berkata, kementerian akan terus meningkatkan usaha serta jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudah cara kepulangan 65 lagi jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu dengan segera dan selamat. 



Sumber : 9 jemaah tabligh terkandas di India selamat pulang

Post a Comment

0 Comments