
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih MNRB Holdings Bhd melonjak kepada RM50.81 juta dalam suku pertama berakhir 30 Jun 2020 (suku pertama 2021) daripada RM37.91 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Penanggung insurans itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatannya turut meningkat kepada RM570.48 juta berbanding RM561.38 juta sebelum ini, disebabkan oleh premium kasar dan sumbangan takaful yang lebih tinggi daripada subsidiari penanggung insurans dan takafulnya.
Dalam satu kenyataan lain, MNRB berkata premium kasar dan sumbangan takaful kumpulan menokok sebanyak 3.7 peratus kepada RM500.8 juta dalam suku pertama 2021 berbanding hanya RM483.5 juta yang direkodkan semasa suku pertama 2020.
Subsidiari penanggung insurans semula MNRB, Malaysian Re, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 14.3 peratus dalam premium kasar kepada RM323.8 juta dalam suku pertama 2021 daripada RM283.3 juta.
"Ini disebabkan oleh pertumbuhan perniagaan yang sihat di dalam portfolio perniagaan konvensional domestik dan antarabangsa serta pengenalan produk baharu yang sejajar dengan pelan penciptaan nilai strategik," katanya lagi.
Keuntungan bersih Malaysian Re naik 75.1 peratus dari tahun ke tahun kepada RM35.2 juta berbanding RM20.1 juta sebelum ini, didorong oleh perbelanjaan pengurusan yang lebih rendah, ketiadaan peristiwa kerugian yang besar termasuk pendapatan pelaburan yang lebih tinggi yang direkodkan untuk suku berkenaan.
Sumbangan kasar perniagaan Takaful IKHLAS Family kumpulan bagi suku pertama 2021 menurun kepada RM102.1 juta daripada RM135.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala keuntungan bersih jatuh kepada RM2.6 juta daripada RM14.6 juta.
"Perniagaan itu mula meningkat pada Jun lepas walaupun pertumbuhan perniagaan merekodkan kelembapan semasa April dan Mei 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Bahagian Takaful Am MNRB, Takaful IKHLAS General, mencatatkan RM76.4 juta dalam sumbangan kasar pada suku pertama berbanding RM64.2 juta yang direkodkan dalam suku pertama 2020, manakala keuntungan bersih bertambah kepada RM7.1 juta daripada RM5.7 juta.
Sementara itu, pendapatan pelaburan bersih kumpulan meningkat 7.9 peratus dari tahun ke tahun kepada RM172.9 juta dalam suku ini daripada RM160.3 juta disebabkan oleh keuntungan nilai saksama yang lebih tinggi.
Melangkah ke hadapan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Din Merican berkata, salah satu matlamat utama syarikat adalah untuk meningkatkan saluran digital.
"Ini akan membolehkan kami untuk mengekalkan momentum perniagaan kumpulan di tengah-tengah normal baharu," tambah beliau.
– Bernama
Sumber : Untung bersih MNRB melonjak kepada RM50.81 juta
0 Comments