
TANGKAK: Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Mohd Akid Aziz mengubati kekecewaannya apabila menjuarai kelas perdana CP150 pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Lumba Tangkak, hari ini.
Ini kejuaraan pertama Akid selepas kali terakhir melakukannya pada pusingan kesembilan di Jempol, Negeri Sembilan musim lalu.
Malah, pada aksi di Sepang bulan lalu, dia turut kecewa apabila gagal menamatkan perlumbaan.
Mendahului perlumbaan sejak pusingan pertama lagi, Akid tiba di garis penamat dengan catatan masa 15 minit 46.337 saat (s) untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukannya musim ini.
Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang muncul terpantas pada sesi kelayakan, sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan masa 15:46.651s, manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Md Muzakkir Mohamed (15:50.266s).
"Semuanya berjalan dengan baik hari ini. Begitupun, perlumbaan agak mencabar kerana litar licin, namun saya mengambil pendekatan lebih selamat.
"Saya hanya fokus mengekalkan rentak tunggangan dan tidak perlu terburu-buru kerana ada beberapa selekoh di litar ini sangat mencabar. Saya hanya perlu sesuaikan gaya tunggangan dengan keadaan litar licin bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera terbaik untuk mengharungi perlumbaan hari ini," kata Akid.
Kemenangan hari ini menyaksikan Akid berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 25 mata.
Kedudukan pendahulu menjadi milik Azroy yang mengumpul 36 mata manakala Md Helmi Azman daripada pasukan Hi Rev SCK Honda Racing pula di tempat ketiga dengan 25 mata.
Sementara itu, pasukan ONEXOX TKKR SAG Team meneruskan penguasaan mereka dalam kelas CP125 menerusi kemenangan yang dilakar pelumbanya, Md Shafiq Rasol.
Dalam kelas Wira pula, pasukan ONEXOX SAG Team turut tampil dalam kelas tersendiri apabila pelumbanya, Md Norhakim Norhafizullah memenangi perlumbaan yang dikurangkan ke lapan pusingan itu gara-gara hujan lebat.
Selepas ini, saingan akan kembali ke Litar Sepang Selatan yang akan menjadi tuan rumah pusingan ketiga pada 2 dan 3 September depan.
Keputusan
CP150
1. Mohd Akid Aziz (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR), 15'46.337s
2. Azroy Hakeem Anuar (Honda) (IDEMITSU HONDA YUZY RACING), 15'46.651s
3. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG TEAM), 15'50.266s
4. Mohd Iqbal Amri Abd Malek (Yamaha) (AHM MOTORSPORTS), 15'54.853s
5. Ahmad Afif Amran (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA-CKJ RACING), 15'55.452s
CP125
1. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG TEAM), 12'00.737s
2. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR), 12'01.866s
3. Mohd Aliff Danial Mohd Asri (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR), 12'02.369s
4. Mohd Khairi Asyraf Mahmood (Yamaha) (IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM), 12'03.260s
5. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha) (IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM), 12'03.862s
WIRA KBS
1. Mohd Norhakim Mohd Norhafizullah (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team)
2. Mohd Hazim Mohd Fairues (Honda) (ELF KOYOKO HONDA KC RACING)
3. Abdullah Qayyum Abd Razak (Honda) (HONDA AFB TECH RACING)
4. Akif Hakimi Zainuddin (Yamaha) (WIRAMUDA V-FIERTECH Academy Racing)
5. Mohd Adam Haikal Jahar (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing)
Sumber : Akid tawan Tangkak
0 Comments