SPIELBERG: Miguel Oliveira meraih kemenangan pertama buat dirinya dan pasukan Tech3 apabila mengungguli saingan MotoGP Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring, sebentar tadi.
Kemenangan mengejutkan itu dilakukan Oliveira selepas berjaya memintas Jack Miller dan Pol Espargaro di selekoh terakhir untuk mengesahkan kemenangan di litar terbabit.
Perlumbaan sebelum itu terpaksa dihentikan selepas Maverick Vinales terpaksa 'terjun' daripada kelajuan 230 kilometer sejam susulan kerosakan brek pada jenteranya namun dia berada dalam keadaan selamat.
Ketika itu, Joan Mir mendahului perlumbaan mengatasi Takaaki Nakagami dan Miller sebelum perlumbaan dihentikan namun dia tidak memiliki tayar baharu untuk perlumbaan semula ketika banyak pelumba menukar kepada tayar lembut.
Selepas perlumbaan bersambung, Mir bergelut dengan keadaan tayar sepanjang 12 pusingan dan ketinggalan sekali gus membenarkan KTM dan Ducati bersaing untuk mendapatkan kemenangan.
Espargaro mendahului perlumbaan sehingga pusingan terakhir namun dipintas pada selekoh ketiga oleh Miller sebelum Espargaro kembali mengambil kedudukannya pada selekoh kesembilan.
Bagaimanapun persaingan dua pelumba itu memberi peluang kepada Oliveira memintas mereka di selekoh terakhir sekali gus merakam kemenangan pertama dalam kelas perdana buat dirinya dan pasukan.
Keputusan itu turut membolehkan dia muncul pelumba pertama dari Portugal memenangi MotoGP.
Sementara itu, Petronas SRT berdepan hari sukar apabila pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 sementara rakan sepasukannya, Franco Morbidelli pada kedudukan ke-15. -Agensi
Sumber : Oliveira lakar kejutan di GP Styria
0 Comments