
LONDON: Cristiano Ronaldo merancang membuka sebuah hotel mewah bernilai £27 juta (RM148.2 juta) berhadapan Piccadilly Gardens di Manchester.
Bintang Juventus dan bekas penyerang Manchester United itu mengadakan kerjasama dengan syarikat percutian dan pelancongan Portugal, Pestana untuk melancarkan hotel 11 tingkat berstatus empat bintang itu.
Hotel itu berkonsepkan gaya hidup mewah dan sebuah bar turut ditempatkan di atas bumbung.
Hotel CR7 Pestana akan dibuka di Manchester pada 2023 selepas kejayaan hotel Ronaldo di Madeira, Lisbon, Madrid, New York, Marrakesh dan Paris.
Ronaldo beraksi selama enam tahun di Old Trafford, menjaringkan 119 gol dan memenangi sembilan trofi sekali gus menjadi pilihan firma berkenaan.
Catatan di laman web Pestana menjelaskan mengapa penyerang itu mahu menjadikan Manchester sebagai lokasi seterusnya bagi hotel baharu.
"Cristiano Ronaldo memulakan karier antarabangsanya di bandar ini bersama Manchester United pada 2003 dan pertama kali menggunakan nombor 7," katanya.
Selain bola sepak, Manchester turut dikenali sebagai bandar muzik, tempat tercetusnya revolusi industri dan salah satu tempat terbesar bagi komuniti China di Eropah. - AGENSI
Sumber : Ronaldo buka hotel RM148 juta di Manchester
0 Comments