PUTRAJAYA: Tiga daripada lima kes positif baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini dikesan membabitkan rakyat tempatan yang dirawat di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua daripada mereka adalah kes saringan prapembedahan, manakala seorang lagi kes saringan bergejala.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan punca jangkitan, justeru masih terlalu awal untuk menyatakan ia sebagai satu lagi kluster jangkitan.
"Sehingga 27 Ogos jam 12 tengah hari, terdapat lima kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,296 kes.
"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 177 kes.
"Daripada lima kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di Filipina dan Mesir yang membabitkan warganegara. Kes import ini dilaporkan di Selangor," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, setakat ini ada lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau berkata, jumlah kematian kekal pada 125 kes.
Sementara itu, seramai 16 pesakit COVID-19 sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang.
Dr Noor Hisham berkata, setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes pulih adalah sebanyak 8,994 kes.
Sumber : COVID-19: 5 kes baharu dilaporkan
0 Comments