COVID-19: Korea Selatan kesan jujukan genom baharu

SEOUL: Pihak Berkuasa Kesihatan Awam Korea Selatan menemui tiga turutan genom bermutasi baharu daripada COVID-19 dalam kalangan kes import, lapor agensi berita Yonhap.

Mutasi genetik dikesan mempunyai lonjakan protein pada permukaan utama virus daripada tiga kes import COVID-19, masing-masing dua dari Pakistan dan satu dari Uzbekistan.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) berkata, mutasi baharu itu berbeza daripada 78,810 turutan genom virus yang didaftarkan di pangkalan data inisiatif sains global dan sumber utama untuk data genomik virus influenza (GISAID), iaitu mengenai penyelidikan virus yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Tiga pesakit itu dikuarantin setiba mereka di negara ini dan tidak dibenarkan berhubung dengan orang luar," kata Ketua KCDC, Jeong Eun-kyeong pada taklimat media.

Penemuan itu berdasarkan analisis KCDC turutan genom terhadap sejumlah 776 pesakit COVID-19, termasuk 597 jangkitan tempatan dan 179 kes import.

Jeong berkata, eksperimen lebih lanjut perlu dilakukan bagi menentukan tahap jangkitan dan patogen.

COVID-19 baharu diklasifikasikan menjadi tujuh jenis (strain) iaitu S, V, L, G, GH, GR dan selebihnya sesuai dengan asid amino, menurut pangkalan data GISAID.

Kelompok GH dikesan dalam 437 jangkitan tempatan dengan kebanyakannya dikaitkan dengan gudang pengendali e-dagang terkemuka negara itu, kata KCDC.

Sementara kelompok GH, yang bermutasi daripada jenis S, membiak dengan baik dalam sel dan lebih mudah berjangkit, membuatnya menyebar lebih cepat.

Kelompok COVID-19 kedua paling biasa di Korea Selatan ialah V, dengan 120 kes tempatan yang dijangkiti akibat genetik itu, kata KCDC.

Menurut KCDC, 32 kes tempatan dikelompok di bawah kelompok S dan lapan kes di bawah GR.

Katanya lagi, daripada 179 kes import, 100 pesakit atau 56 peratus, diklasifikasi sebagai kelompok GR, dengan 40 daripadanya kelompok GH dan 18 lagi kelompok G.

Korea Selatan mengenal pasti pertambahan 28 kes baharu pada Isnin, termasuk 17 jangkitan tempatan, menjadikan keseluruhan sebanyak 14,626 kes, kata KCDC. - BERNAMA



Sumber : COVID-19: Korea Selatan kesan jujukan genom baharu

Post a Comment

0 Comments