
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan gerai sementara untuk 11 peniaga makanan yang hilang punca pendapatan selepas gerai mereka di Jalan 1/76B Desa Pandan di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata DBKL akan berbincang lanjut dengan semua peniaga terbabit bagi menentukan lokasi yang sesuai.
"Kita tidak mahu mereka terputus pendapatan harian disebabkan kejadian itu (kebakaran), justeru kita akan carikan tapak berniaga sementara yang sesuai secepat mungkin.
"Pada masa sama, kerja baik pulih dan membina semula gerai di lokasi yang terjejas akan dimulakan secepat mungkin.
"Ini bukan saja membabitkan premis yang terjejas akibat kebakaran itu, malah menaik taraf semua 76 gerai di sini agar ia lebih seragam dan selamat," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran, hari ini.
Pada lawatan itu, Annuar turut menyampaikan bantuan awal berjumlah RM1,000 kepada 11 peniaga yang terjejas sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan.
Dalam kebakaran kira-kira jam 5.30 pagi itu, sebanyak 11 gerai musnah namun kejadian tidak membabitkan mangsa.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada jam 5.38 pagi tadi menggerakkan dua jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dan BBP Keramat ke lokasi.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba Armdan Mahat, berkata api dapat dikawal daripada terus merebak ke gerai-gerai berhampiran kira-kira jam 6.01 pagi sebelum kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 18 minit kemudian.
Kebakaran membabitkan gerai berkeluasan 150 kaki persegi setiap satu dan buat masa ini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sumber : DBKL bina gerai sementara
0 Comments