
KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menggesa supaya pendedahan 101 projek perolehan RM6.61 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), disiasat secara terperinci.
Naib Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata senarai projek terbabit juga perlu didedahkan kepada rakyat kerana dikhuatiri wujud salah tadbir urus, penyelewengan kuasa, kronisme dan nepotisme.
"Rakyat perlu tahu senarai projek yang dilaksanakan secara rundingan terus walaupun perolehan rundingan terus boleh dilaksanakan bagi keadaan tertentu dan menepati beberapa kriteria.
"Rakyat mahu senarai projek didedahkan bagi membuktikan adakah kerajaan PH mengamalkan sikap telus dan keterbukaan seperti yang sering diucapkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada persidangan Dewan Rakyat, mendedahkan pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.
Ia disusuli penjelasan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Kabinet PH tidak pernah dimaklumkan mengenai projek secara rundingan terus berkenaan.
Norliza berkata, siasatan perlu dilakukan kerana perkara itu menimbulkan persoalan yang besar dan setakat mana status serta kemajuan yang dicapai membabitkan 101 projek runding terus berkenaan.
"Saya beranggapan andainya projek itu membawa manfaat kepada rakyat dan ekonomi dalam tempoh 22 bulan, itu sudah menjadi tanggungjawab kerajaan pada ketika itu.
"Bagaimanapun, perkara paling dibimbangi adalah kemungkinan ada unsur salah tadbir urus, penyelewengan kuasa serta kedudukan, kronisme dan nepotisme," katanya.
Hari ini, Guan Eng mengakui ada memberi kelulusan bagi beberapa projek secara rundingan terus ketika PH mentadbir negara, tetapi menjelaskan ia hanya mewakili enam peratus daripada keseluruhan nilai pembangunan atau 1.4 peratus berbanding keseluruhan perolehan sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan.
Suruhanjaya itu juga menjelaskan, satu kajian menyeluruh akan dibuat bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara itu.
Sumber : Dedah senarai 101 projek ditawar secara rundingan terus
0 Comments