Tak perlu bawa sejadah ke masjid, surau

KUALA LUMPUR: Jemaah tidak lagi diwajibkan membawa sejadah seperti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini untuk menunaikan solat berjemaah di surau dan masjid.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun kerajaan tetap menggalakkan jemaah membawa sejadah sendiri.

"Terdapat keluhan orang ramai yang terlupa membawa sejadah ke masjid dan dihalang untuk menunaikan solat.

"Setelah mendengar rayuan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), Mesyuarat Khas Menteri hari ini bersetuju untuk tidak mewajibkan penggunaan sejadah di masjid.

"Namun, pengunaan sejadah adalah digalakkan tetapi pemakaian pelitup muka masih diwajibkan. Masjid juga boleh menjual pelitup muka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media hari ini di bangunan Parlimen mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-161 dan hari ke-77 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mencadangkan jika ada pihak masjid mahu menjadikan kertas pakai buang untuk menggantikan sejadah, perkara itu boleh dilakukan.



Sumber : Tak perlu bawa sejadah ke masjid, surau

Post a Comment

0 Comments