PUTRAJAYA: Kira-kira RM3,000 dikutip pada program Caerus X Bridgestone – Fight COVID-19 Get Together Golf 2020 di IOI Palm Garden Golf Resort, di sini, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Caerus Event International Sdn Bhd, Tengku Izarul Tengku Izhar berkata hasil kutipan derma itu akan disumbangkan kepada dua badan iaitu Madrasah Ulul Al Umum Al Fukani, Puchong dan Kelab Rotary Klang.
"Sumbangan ini bagi membantu madrasah berkenaan membeli bahan pembelajaran untuk pelajar di situ, manakala kelab Rotary Klang untuk melaksanakan projek pembedahan katarak mata," katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Izarul berkata program itu disertai seramai 128 peserta merangkumi pelbagai latar belakang termasuk dua atlet boling negara, Rafiq ismail dan Timmy Tan.
Katanya, pihaknya menerima sambutan luar biasa bagi penganjuran pertandingan itu, namun terpaksa menolaknya berikutan tempat terhad selain bagi memastikan prosuder operasi standard (SOP) dipatuhi.
Mengenai program akan datang, Tengku Izarul berkata pihaknya merancang untuk menganjurkan Piala Caerus pada tahun depan atau sebaik saja Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir.
"Kita bercadang menganjurkan kejohanan itu sebanyak 12 pusingan termasuk pusingan grand final.
"Semua pertandingan ini akan diadakan di kelab-kelab golf terpilih dalam negara ini manakala untuk grand final nanti kita belum tentukan lokasinya," katanya.
Caerus yang juga pengeluar pakaian golf terulung milik Bumiputera di negara ini adalah penaja bagi pasukan boling kebangsaan sejak tahun lalu.
Sumber : Golf Caerus Bridgestone bantu madrasah, kelab Rotary
0 Comments