
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua kepemimpinan baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang terpilih pada pemilihan parti itu baru-baru ini, menjalankan tugas dan amanah dengan penuh dedikasi.
Presiden BERSATU itu turut mengingatkan mereka yang tidak terpilih, supaya terus istiqamah dalam saf perjuangan kerana mempunyai peranan yang besar untuk terus menyumbang kepada parti.
"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua barisan kepemimpinan BERSATU yang terpilih memegang jawatan di peringkat cawangan, bahagian, Srikandi, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam pemilihan parti yang berakhir semalam.
"Pemilihan parti kali pertama yang berlangsung dalam suasana teratur dan tertib ini menunjukkan proses demokrasi di dalam parti berjalan dengan baik.
"Ahli parti juga matang dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memilih barisan kepemimpinan parti bagi tempoh tiga tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhyiddin yang juga Perdana Menteri, mengekalkan jawatan BERSATU bagi penggal 2019-2022 manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Timbalan Presiden selepas 177 Bahagian BERSATU selesai bersidang, Sabtu lalu.
Kedua-dua mereka adalah calon tunggal yang bertanding bagi jawatan berkenaan untuk penggal ini, manakala jawatan bagi pengerusi parti tidak ditandingi oleh mana-mana individu.
Beberapa menteri penuh dalam Kabinet Muhyiddin turut memenangi jawatan tertinggi parti termasuk Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang terpilih sebagai Naib Presiden serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Muhyiddin turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dipengerusikan Tan Sri Syed Hamid Albar serta semua petugas yang terbabit dalam pemilihan parti di setiap peringkat.
"Segala usaha dan kerja keras anda semua dalam menjayakan proses pemilihan parti, amat saya hargai. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada semua barisan kepemimpinan parti di peringkat cawangan, bahagian, Srikandi, Armada dan MPT yang menjalankan tugas bagi sesi 2016-2020," katanya.
Sumber : Jalankan tugas, amanah dengan penuh dedikasi - Muhyiddin
0 Comments