Lima ditahan pasang Jalur Gemilang terbalik

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori sampah warga tempatan serta empat pekerja warga Bangladesh ditahan selepas dikesan memasang bendera Malaysia secara terbalik.

Kejadian berkenaan dikesan berlaku sekitar jam 9.40 pagi tadi selepas seorang lelaki yang juga pengadu melihat sebuah lori sampah milik sebuah syarikat memasang bendera Malaysia secara terbalik di hadapan lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian berkenaan dikesan berlaku di hadapan masjid Bandar Country Homes Rawang.

"Pengadu lelaki berusia 36 tahun itu kemudian memberhentikan lori berkenaan dan menegur pemandunya selain merakam insiden berkenaan dan tular dalam laman media sosial.

"Pengadu kemudian membuat laporan polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, pihaknya menahan pemandu berusia 48 tahun itu bersama empat pekerja syarikat yang juga warga Bangladesh berusia antara 30-43 tahun pada jam 7.30 malam tadi. Kesemua mereka akan direman esok.

Terdahulu tular video lori sampah berkenaan memasang bendera Malaysia secara terbalik berdurasi 0.36 saat dalam laman media sosial Facebook sejak tengah hari tadi.



Sumber : Lima ditahan pasang Jalur Gemilang terbalik

Post a Comment

0 Comments