KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,051 individu disaring di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak sehingga jam 12 tengah hari tadi, bagi mengesan rantaian penularan jangkitan yang berpunca daripada Kluster Tawar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster berkenaan masih aktif susulan terdapat tiga kes baharu direkodkan hari ini, menjadikan keseluruhan 73 kes positif dikesan.
"Di Kedah sahaja, sebanyak 3,514 individu disaring. Sebanyak 62 kes dikesan positif COVID-19, manakala 2,884 individu didapati negatif. Lagi 568 individu masih menunggu keputusan.
"Di Pulau Pinang pula, sebanyak 526 disaring dan daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes dikesan positif COVID-19 dan 513 individu negatif. Dua individu masih menunggu keputusan.
"Di Perak kekal dengan 11 saringan, di mana semuanya disahkan negatif. Tiada saringan baharu dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai intervensi kesihatan awam sebagai strategi mengekang penularan jangkitan COVID-19 membabitkan Kluster Tawar, termasuk menjalankan aktiviti pencegahan penularan jangkitan COVID-19 dengan kerjasama pelbagai agensi.
Beliau berkata, langkah holistik diambil berikutan penularan jangkitan COVID-19 membabitkan Kluster Tawar terutama di Kedah yang merekodkan 85 peratus daripada kes positif kluster berkenaan.
"Langkah-langkah diambil adalah mempertingkatkan aktiviti pengesanan kes secara aktif, serta mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
"Selain itu, penutupan sekolah dan premis yang terbabit untuk menjalankan aktiviti nyah kuman dan nyah cemar, serta mempertingkatkan komunikasi risiko termasuk memaklumkan situasi terkini COVID-19 di kawasan terjejas melalui media massa.
"Semua aktiviti ini masih diteruskan di lapangan termasuk saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan situasi semasa kluster akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber : Kluster Tawar: 4,051 disaring di tiga negeri
0 Comments