
KUALA LUMPUR: Tempoh pemulihan bagi Khairul Idham Pawi yang selesai menjalani pembedahan di jari kelingking kanan awal pagi tadi dijangka diketahui Isnin ini dengan pasukan PETRONAS Sprinta Racing Team merancang pelumbanya itu dapat kembali beraksi di pusingan seterusnya di Grand Prix San Marino pada 13 September.
Khairul Idham yang mengalami kecederaan berulang di bahagian jari sama di sesi kelayakan GP Republik Czech, awal bulan ini - dengan yang pertama di sesi latihan bebas GP Sepanyol 2019 - menjalani pembedahan di sebuah hospital di Barcelona, Sepanyol yang mengambil masa kira-kira dua jam.
"Sukar untuk sekali lagi kembali ke hospital untuk melakukan pembedahan di jari kelingking tangan kanan tetapi sebagai satu pasukan, kami memutuskan ia adalah langkah terbaik untuk masa akan datang.
"Ia membelenggu saya dalam tempoh yang lama dan berharap dengan pembedahan ini kami akan dapat menyelesaikan isu ini dan saya boleh memberikan tumpuan kepada perlumbaan semula berbanding memikirkan masalah ini.
"Dalam pemikiran, saya mempunyai perancangan untuk kembali berlumba di Misano (GP San Marino) tetapi kami perlu menunggu dan melalui proses pemulihan. Setidak-tidaknya sekarang ini, kami mempunyai masa rehat yang singkat dalam kalendar jadi ia sedikit sebanyak membantu saya.
"Saya akan berusaha dan berlatih dengan gigih dalam tempoh dua minggu ini bagi membolehkan saya kembali berlumba. Saya berterima kasih kepada pasukan perubatan atas usaha dilakukan mereka dalam tempoh sukar ini. Tidak lupa juga kepada pasukan dan juga penyokong kerana sokongan yang diberikan.
"Sekarang ini tumpuan penuh adalah untuk kembali dengan lebih kuat," kata Khairul Idham Pawi atau dikenali dengan julukan SuperKIP yang pada tahun ini kembali menyertai kelas Moto3 selepas kali terakhir beraksi dalam kelas itu pada 2016.
GP San Marino dijadual menjadi pusingan ketujuh musim 2020 dan ia sekali lagi menjadi lokasi untuk perseteruan seterusnya GP Emilia Romagna, seminggu selepas itu. Saingan selepas itu dijadual berlangsung di GP Catalunya pada 27 September.
Sumber : Kedudukan SuperKIP diputuskan Isnin ini
0 Comments