Korea Selatan, AS kecilkan skala latihan ketenteraan susulan COVID-19

SEOUL: Latihan ketenteraan tahunan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) akan bermula minggu ini pada skala lebih kecil tanpa kerahan tentera yang berpangkalan di AS berikutan ancaman COVID-19.

Dua negara bersekutu itu sudah membincangkan penyesuaian kaedah latihan yang biasanya bermula bulan ini, dengan mengambil kira ancaman virus yang masih berleluasa dan mungkin menjejaskan pergerakan tentera.

Agensi berita Yonhap melaporkan, program yang membabitkan puluhan ribu askar kedua-dua negara itu kali ini lebih tertumpu kepada simulasi berkomputer berbanding latihan lapangan secara fizikal.

Acara itu dijadualkan berlangsung antara 16 hingga 28 Ogos ini tetapi dalam skala lebih kecil, walaupun tempoh dilanjutkan selama beberapa hari bagi membolehkan pengasingan peserta dan mengurangkan kegiatan malam.

Jurucakap Menteri Pertahanan Seoul berkata perancangan itu belum dimuktamadkan manakala Tentera AS Korea (USFK) enggan mengulas apabila diminta memberi maklum balas.

Sekurang-kurangnya 65 kes jangkitan COVID-19 dilaporkan dalam kalangan 28,500 anggota USFK, pekerja dan keluarga mereka sejak Julai lalu, sekali gus merisaukan penduduk Korea Selatan berhampiran pangkalan itu.

Semua jangkitan itu disahkan semasa ketibaan dari luar negara atau ketika menjalani kuarantin wajib selama dua minggu. - AGENSI



Sumber : Korea Selatan, AS kecilkan skala latihan ketenteraan susulan COVID-19

Post a Comment

0 Comments