SEOUL: Korea Selatan hari ini melonggarkan amaran perjalanan kepada penduduk dari wilayah Hubei, China, pusat asal wabak COVID-19, berikutan keadaan stabil di sana selain permintaan perjalanan yang semakin meningkat, kata Kementerian Luarnya.
Agensi berita Yonhap melaporkan, amaran perjalanan 'merah' untuk Hubei, yang bermaksud 'dinasihat supaya meninggalkan kawasan itu' sudah ditarik balik dan wilayah itu kini berada di bawah nasihat perjalanan khas yang turut dilaksana untuk seluruh wilayah di China, kata kementerian itu dalam satu kenyataan media.
"Kita sudah mempertimbangkan bahawa situasi penularan virus COVID-19 di wilayah Hubei berada pada tahap stabil, menyamai bahagian lain di China.
Rakyat kita yang berada di sana, mereka yang bekerja sendiri dan pelajar antarabangsa diharap dapat kembali," menurut kenyataan itu.
Pemerintah negara itu mengeluarkan amaran perjalanan merah untuk Hubei pada 25 Januari lalu sebagai satu daripada langkah pertama mencegah penyebaran virus berkenaan.
Pada akhir Mac lalu, pemerintahnya mengeluarkan nasihat perjalanan khusus untuk semua negara asing, kecuali negara yang sudah mengambil langkah waspada, ketika wabak mula merebak ke seluruh dunia. - AGENSI
Sumber : Korea Selatan longgar amaran perjalanan untuk penduduk Hubei
0 Comments