
KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha telah diambil untuk membuka pintu bagi mengeksport minyak sawit ke pasaran baharu seperti pedalaman China, negara Asia Tengah, negara Balkan, Eropah Timur, Kepulauan Caribbean dan negara-negara Afrika.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata, sebagai contoh, ketika lawatan ke Ethiopia, satu daripada syarikat milik Malaysia ditawarkan tender untuk mengeksport sebanyak 27 juta tan metrik sawit ke Ethiopia.
Menurut KPPK, selain mempromosikan minyak sawit negara, misi lawatan ke negara-negara itu juga telah memantapkan hubungan dua hala dengan negara-negara berkenaan melalui kerangka kerjasama sedia ada bagi memudahkan penerimaan minyak sawit Malaysia bagi mendapatkan terma terbaik untuk mengeksport minyak sawit negara.
"Kementerian juga menyebarluaskan usaha dan inisiatif yang sedang diambil oleh Malaysia mengenai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan usaha-usaha pemuliharaan hutan serta biodiversiti yang dijalankan.
"Kita juga telah melobi negara-negara pengimport minyak sawit mengenai aspek positif penggunaan minyak sawit dalam aplikasi pemakanan dan bukan pemakanan," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai impak utama hasil promosi sawit oleh KPPK ke negara-negara yang pernah dilawati, kepada industri sawit negara.
Menurut kementerian itu, lawatan-lawatan berkenaan juga telah meredakan sedikit sebanyak kempen anti minyak sawit yang menjejaskan perdagangan minyak sawit negara.
"Sesi libat urus, penerangan dan pembentangan hala tuju negara yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan telah dapat mengembalikan imej minyak sawit negara pada pandangan dunia," kata kementerian itu.
Ia berkata, hasil usaha yang terancang itu telah menunjukkan impak peningkatan eksport pada 2019 dengan peningkatan sebanyak 10.8 peratus kepada 27.98 juta tan berbanding 25.23 juta tan pada 2018.
"Bagi pasaran India, kuantiti eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit telah meningkat sebanyak 67 peratus daripada 2.67 juta tan pada 2018 kepada 4.46 juta tan pada 2019.
"Selain itu, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke negara-negara Kesatuan Eropah telah meningkat 2.3 peratus daripada 3.80 juta tan," menurut kementerian.
Menurut kementerian, peningkatan eksport tersebut telah memberi impak positif terhadap pergerakan harga minyak sawit mentah kepada RM2,739 per tan pada 23 Julai 2020. – BERNAMA
Sumber : Lawatan ke negara lain buka peluang eksport minyak sawit - KPPK
0 Comments