
SLIM RIVER: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz menggandakan usaha dengan menumpukan minggu terakhir berkempen di kawasan masyarakat Orang Asli.
Katanya, sokongan Orang Asli terhadap BN dilihat sangat luar biasa dan percaya majoriti undian akan bersamanya, sekali gus dapat membantu kemenangan pada PRK itu.
Menurutnya, sebelum ini, dia sudah pergi ke empat kampung Orang Asli di DUN berkenaan iaitu Kampung Changkat Ramu, Kampung Sungai Teras, Kampung Buluh Seruas dan Kampung Sungai Jentong membabitkan lebih 400 pengundi.
"Alhamdulillah nampaknya sambutan luar biasa dan ini kali ketiga saya datang melawat kampung Orang Asli supaya boleh berjumpa, bertanya khabar dan mendengar masalah mereka.
"Insya-Allah pengundi Orang Asli akan bersama dengan BN," katanya ketika berkempen di Kampung Orang Asli Sungai Teras, di sini, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, beliau akan melakukan sebaik mungkin dalam memperjuangkan nasib masyarakat di DUN Slim termasuk masalah yang membelenggu Orang Asli.
"Isu utama mereka adalah air dan ia sudah diambil tindakan oleh kerajaan negeri, saya yakin perkara ini akan diselesaikan. Antara lain yang mereka perlukan adalah dewan, padang dan baik pulih rumah.
"Kalau saya memperoleh mandat itu, saya akan membawanya kepada pihak berkenaan. Pastinya saya akan menyambung kerja Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang sangat rapat dengan masyarakat Orang Asli di sini," katanya.
PRK DUN Slim yang dijadual pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Mohd Zaidi dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Amir Khusyairi mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sumber : PRK Slim: Calon BN yakin raih sokongan Orang Asli
0 Comments