Melaka: Sambut ambang Merdeka penuh simbolik

MELAKA: Sambutan Ambang peringkat negeri disambut secara sederhana, namun penuh simbolik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bersama EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, menaiki bot Melaka River Cruise Mendam Berahi menyelusuri Sungai Melaka sejauh sembilan kilometer bermula dari Taman Rempah ke Muara Sungai Melaka, di sini.

Lokasi persinggahan pertama di Kampung Morten, tetamu disajikan dengan persembahan kebudayaan sebelum ke lokasi kedua di Muara Sungai Melaka bagi menyaksikan pertunjukan jet ski dari Persatuan Jetpro Water Sport.

Kemuncak acara, tetamu dihidangkan dengan pertunjukan bunga api tepat jam 12 tengah malam.

Acara dianjurkan bersama Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (Tourism Melaka) serta Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Khairunnisa Ibno Masooda, berkata aktiviti ambang Hari Kebangsaan itu bertujuan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di Melaka, khususnya sebagai tanda syukur dengan nikmat kemerdekaan serta dapat memperingati peristiwa kemerdekaan negara, sekali gus menanamkan rasa cinta pada negara.

"Objektif program itu adalah untuk melahirkan generasi yang sayang dan cinta kepada negara serta menjadi contoh kepada masyarakat, khususnya generasi muda," katanya.



Sumber : Melaka: Sambut ambang Merdeka penuh simbolik

Post a Comment

0 Comments