
JOHOR BAHRU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran secara meluas di sesuatu daerah, hanya akan dilaksanakan jika ia disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) selain mempunyai asas yang kuat.
Menteri Kanan (Keselamatan) , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menafikan faktor kekangan tertentu termasuk kekurangan dana mahupun anggota keselamatan terhad untuk mengawal kawasan yang besar, menjadi alasan untuk tidak melaksanakan PKPD secara meluas terutama di Kedah.
Katanya, KKM akan membuat penilaian teliti dan membentangkannya pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri sebelum keputusan muktamad sama ada arahan PKPD perlu dikeluarkan di sesuatu kawasan luas termasuk daerah tertentu.
"Jika Kementerian Kesihatan menyatakan tiada keperluan untuk mengadakan arahan PKPD secara meluas mengikut daerah mahu pun kawalan pergerakan ketat antara daerah, kita tidak akan buat.
"Tidak benar jika ada menyatakan kerajaan Persekutuan tidak mengumumkan PKPD di seluruh Kedah kerana alasan dana tidak cukup mahupun alasan lain.
"Tidak timbul sebarang alasan apa-apa kekangan untuk arahan PKPD tidak dilaksanakan. Hanya Kementerian Kesihatan yang berhak menentukan sama ada PKPD perlu dibuat secara menyeluruh di satu daerah mahu pun mengikut mukim, " katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, hari ini.
Kerajaan negeri Kedah hari ini dilaporkan mengakui pernah mencadangkan supaya PKPD Secara Pentadbiran diadakan secara meluas di negeri itu bagi mengekang penularan COVID-19, namun akur ia dilaksanakan mengikut mukim atau kawasan sahaja berikutan kekangan tertentu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, dilaporkan berkata, cadangan itu dibuat berikutan tercetusnya beberapa kluster baharu di negeri ini, terutama Kluster Tawar yang merebak lebih pantas.
"Kita memang syorkan kepada Kerajaan Pusat supaya PKPD Secara Pentadbiran diadakan lebih meluas, namun ada beberapa kekangan antaranya dari segi penempatan anggota keselamatan terhad untuk mengawal kawasan yang luas, selain dana yang besar juga diperlukan untuk pengurusan dan mengagihkan bantuan kepada penduduk di kawasan terbabit," katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan Persekutuan sudah berubah menggunakan pendekatan baharu dalam pelaksanaan PKPD berbanding pada awal wabak melanda negara.
"Pada awal wabak COVID-19 melanda, memang kerajaan mengeluarkan arahan PKPD secara menyeluruh di kawasan yang luas atau seluruh negeri jika ia diisytiharkan zon merah dengan 40 individu positif wabak berkenaan.
"Namun, selepas itu kita perkecilkan kepada daerah, selepas itu perkecilkan kepada mukim dan kini kita perkecilkan lagi mengikut lokaliti terbabit sahaja," katanya.
Sumber : PKPD secara meluas ikut daerah perlu ada asas kukuh
0 Comments