BEIRUT: Menteri Informasi Lubnan, Manal Abdel Samad, meletakkan jawatan hari ini, menteri pertama yang meletak jawatan sejak letupan di pelabuhan Beirut yang mengorbankan lebih 150 orang dan memusnahkan kawasan di ibu negara.
"Selepas bencana besar di Beirut, saya mengumumkan pengunduran diri saya dari kerajaan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh media tempatan, memohon maaf kepada masyarakat Lubnan kerana gagal.
Sementara itu, ketua gereja Maronite Lubnan, Beshara Rai, juga meminta seluruh kerajaan mengundurkan diri berikutan letupan yang berlaku itu, malah penunjuk perasaan berjanji untuk membuat demonstrasi lagi selepas menyerbu beberapa kementerian.
Rai turut menyokong penunjuk perasaan menekan kabinet Perdana Menteri, Hassan Diab, supaya meletak jawatan dalam apa yang disifatkannya 'sebagai kejahatan terhadap kemanusiaan.'
"Tidak cukup bagi seorang anggota parlimen sahaja mengundurkan diri atau seorang menteri sahaja untuk mengundurkan diri.
"Tindakan itu perlu kerana memikirkan sensitiviti orang-orang Lubnan dan tanggungjawab sangat besar diperlukan agar seluruh kerajaan mengundurkan diri berikutan tidak mampu menggerakkan negara ke depan," katanya.
Rai turut bersetuju terhadap seruan Diab untuk pemilihan parlimen awal, iaitu permintaan sejak lama oleh gerakan tunjuk perasaan yang bermula pada bulan Oktober lalu bagi menuntut penghapusan kelas politik yang dianggap tidak cekap dan rasuah.
Beliau juga bergabung dengan pemimpin dunia, organisasi antarabangsa dan masyarakat Lubnan yang marah dengan mendesak diadakan siasatan antarabangsa terhadap pihak berkuasa.
Presiden, Michel Aoun menolak sebarang siasatan antarabangsa yang dianggap akan memadam kebenaran. - AFP
Sumber : Menteri Informasi Lubnan letak jawatan
0 Comments