
KUBANG PASU: Lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara, Changlun, di sini meraih pingat perak dalam pertandingan World Invention Creativiti Olympic (WICO) di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.
Inovasi berkenaan dimenangi menerusi 'NIKU Foot Measuring Device' atau alat pengukur saiz kaki secara automatik yang dihasilkan sejak Jun tahun lalu.
Pelajar terbabit ialah Muhammad Adam Iskandar Roslan, Tunku Intan Mariam Tungku Muhamad Nizar, Muhammad Asyar Hadif Abdul Rashid , Sujeshan a/l Siva dan Nuha Nisrin Muhsin, semuanya 12 tahun.
Menurut Muhmamad Adam, kejayaan itu dikecapi hasil tunjuk ajar guru pembimbing, Norazalina Bakar dengan kerjasama Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Erdy Sulino Mohd Muslim Tan.
"Alat pengukur saiz kaki secara automatik ini yang direka bagi membolehkan pengguna mengukur saiz kasut mengikut saiz United Kingdom, Jepun dan Eropah.
"Apabila pengguna meletakkan kaki di atas alat ini, secara automatik saiz sebenar kasut pengguna akan keluar di paparan skrin. Ia sekali gus akan memudahkan pengguna sama ada lelaki ataupun perempuan memilih kasut yang selesa dipakai dalam masa kurang daripada tiga saat," katanya.
Sementara itu, Guru Besar sekolah itu, Mohd Nizam Saidin, berkata beliau berasa bangga pencapaian murid berkenaan yang mengharumkan nama Malaysia dan negeri Kedah di peringkat antarabangsa.
SK Dato' Wan Kemara adalah satu-satunya sekolah dalam negeri Kedah yang menghantar penyertaan di peringkat antarabangsa dalam pertandingan inovasi paling berprestij.
"Pihak sekolah sangat berterima kasih kepada Pemangku Timbalan Naib Canselor UniMAP, Profesor Dr Mohd Mustafa AlBakri Abdullah yang memberikan ruang dan peluang untuk kepada murid sekolah kami menyertai pertandingan ini.
"Walaupun pertandingan ini dianjurkan secara dalam talian, prosedur dan syarat pertandingan ini sangat ketat untuk melayakkan sesuatu alat inovasi itu layak dipertandingkan," katanya.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Korea Universiti Invention Association (KUIA) itu berlangsung pada 21 hingga 23 Ogos 2020 di Seoul.
Sumber : Pelajar sekolah rendah Changlun menang inovasi kreatif di Seoul
0 Comments