Penempatan pekerja asing masih dipandang enteng

KUALA LUMPUR: Segelintir majikan didakwa masih memandang enteng isu kemudahan penempatan pekerja, meskipun mereka terdedah kepada risiko menjadi kluster penularan jangkitan COVID-19.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, berkata kegagalan itu akhirnya mengundang kesan negatif apabila beberapa tapak pembinaan di Kuala Lumpur menjadi 'lubuk' kluster baharu COVID-19.

"Tempoh tiga bulan yang diperuntukkan kepada majikan untuk mematuhi pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) berakhir, hari ini.

"Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila MTUC tidak melihat sebarang tindakan signifikan oleh majikan untuk meningkatkan taraf kualiti penempatan pekerja asing yang terus hidup dalam persekitaran sesak.

"Langsung tidak mengendahkan amaran, kami mendapati pekerja asing menjangkau 15 hingga 20 orang masih ditempatkan di rumah tiga bilik, berkeluasan kurang daripada 1,000 kaki persegi dan hanya satu atau dua tandas.

"Situasi sebegini di rumah kongsi lebih teruk, justeru esok, Kementerian Sumber Manusia sepatutnya menguatkuasakan pindaan perundangan ini bagi memastikan setiap majikan akur terhadap keperluan menyediakan penempatan bersesuaian kepada pekerja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, pada 27 Mei lalu dilaporkan berkata pindaan Akta 446 ini yang terpakai di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan hanya dilaksanakan sepenuhnya pada 1 September bagi memberi penangguhan kepada majikan untuk membuat persediaan sewajarnya.

Pindaan itu bagi menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang disediakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), membabitkan standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan serta kebersihan yang perlu diberi penekanan oleh majikan.

Selari matlamat menepati garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Solomon menggesa kerajaan supaya tidak tunduk kepada sebarang alasan yang berkemungkinan dikemukakan majikan apabila perlu mematuhi pindaan Akta 446.

"Majikan sudah diberikan masa mencukupi untuk membuat pengubahsuaian dan langkah berkaitan dalam mematuhi pindaan akta ini.

"Selain itu, Kementerian Sumber Manusia tidak harus membenarkan mana-mana majikan menggunakan faktor kekangan kewangan, susulan COVID-19 sebagai alasan untuk menangguhkan pematuhan pindaan Akta 446.

"Langkah kerajaan meminda akta ini supaya isu penempatan pekerja dapat dirungkai adalah keputusan yang sangat dialu-alukan, namun perundangan hanya berkesan sekiranya aspek penguatkuasaan dibuat secara berkesan dan ketat," katanya.



Sumber : Penempatan pekerja asing masih dipandang enteng

Post a Comment

0 Comments