Satu mangsa bot karam ditemui

SARIKEI: Seorang mangsa bot nelayan yang karam di kawasan perairan Muara Pantai Belawai, di sini, semalam ditemui jam 8.05 pagi tadi.

Mayat Ibrahim Abang Rasidi, 52, yang juga Pengerusi Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat dijumpai dalam keadaan terapung berhampiran lokasi bot dilaporkan karam oleh penduduk kampung.

Bagaimanapun seorang lagi mangsa, Elfika Ahmad, 29 masih lagi hilang.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan, berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menerima laporan Zon Maritim Tanjung Manis jam 2.20 pagi tadi mengenai kejadian bot karam membabitkan kehilangan dua nelayan.

"Bertindak atas laporan itu Maritim Negeri Sarawak mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 2.45 pagi.

Katanya, kehilangan dua mangsa itu hanya disedari apabila 11 lagi bot yang bergerak bersama mereka dalam satu kumpulan selamat tiba di jeti pada 9.30 malam tadi.

"Maritim Negeri Sarawak menubuhkan Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Pantai Tanjung Belawai bagi melancarkan kerja-kerja koordinasi CARILAMAT.

Beliau menasihati komuniti maritim sama ada nelayan atau mereka yang melakukan aktiviti rekreasi laut mengutamakan keselamatan selain digalakkan untuk mempunyai alat pengesan seperti Personal Locator Beacon (PLB) bagi memudahkan Maritim Malaysia mengesan jika terdapat sebarang kejadian kecemasan.



Sumber : Satu mangsa bot karam ditemui

Post a Comment

0 Comments