
REMBAU: Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zaaba ditemui mati dipercayai lemas di Kolam Mandi Alam, Kampung Sri Kendong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11 pagi hasil maklumat awam dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Mangsa, Wan Muhammad Diniey Adam Mohd Fazli, 14, datang bersama 10 orang rakannya dari Rantau untuk mandi di Kolam Mandi Alam sempena cuti persekolahan.
"Mereka sampai di kolam itu pada jam sekitar 9.25 pagi, sebaik sampai mereka duduk berbual-bual dan tidak lama kemudian mereka perasan mangsa tidak ada," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Anuar Bakri berkata, mereka mencari dan memaklumkan kepada penjaga kolam mandi dan ternampak mangsa sudah terapung di kolam.
"Penjaga kolam segera mengeluarkan mangsa dari kolam naik ke atas tebing sebelum menghubungi polis dan pihak hospital.
"Mangsa di bawa ke Hospital Tampin untuk tindakan selanjutnya dan mayat dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Rantau pagi tadi," katanya.
Difahamkan mangsa juga pelatih di Kelab Fireball FC Rantau dan Fireball Elite (U10) sejak berusia sembilan tahun sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah sukan.
Sumber : Pelajar sekolah sukan lemas
0 Comments