
Isu had umur belia mula dibincangkan sebelum 2007 lagi apabila Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 668) diperkenalkan. Ia menjadi antara isu dibincangkan antara Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sebenarnya memiliki hubungan adik abang yang mengalami pasang surutnya.
Ketika itu, MBM dan KBS mencapai kata sepakat mendefinisikan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun memandangkan sebelum Akta 668 diperkenalkan, tiada definisi rasmi merujuk kepada had usia belia.
Menjelang 2015, Dasar Belia Malaysia (DBM) diperkenalkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. DBM membawa visi baharu dalam menterjemahkan had umur belia apabila cuba menurunkannya daripada 40 kepada 30 tahun dalam tempoh lima tahun, iaitu had usia belia 30 tahun dilaksanakan pada 2020.
Pada waktu ini berlaku perdebatan antara MBM-KBS dalam pelaksanaan had usia 30 tahun untuk definisi belia.
KBS membawa hujah pensetaraan had umur belia Malaysia dengan had umur belia pada peringkat antarabangsa. Malaysia mendefinisikan had umur belia pada tahap paling tinggi berbanding negara lain. Afrika kedua tertinggi, iaitu 35 tahun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendefinisikan had usia akhir belia sekitar 24 tahun. Namun, MBM membawa sudut pandang berlainan apabila kepemimpinannya sekitar 2015 hingga 2020, bersetuju menurunkan had usia belia daripada 40 kepada 30 tahun, tetapi perlu dilakukan berperingkat dan mendahulukan sistem sokongan kepada pertubuhan belia sebelum pindaan.
Penurunan had usia itu perlu dilakukan dengan memastikan pertubuhan belia mempunyai akses terhadap kaderisasi hingga ke peringkat sekolah dan mempunyai kualiti kepemimpinan baharu yang cukup terlatih.
Jika penurunan had usia dilakukan tanpa mengambil kira isu terbabit, ia dikhuatiri bakal 'membunuh' pertubuhan belia di negara ini.
Satu kesepakatan dicapai selepas proses rayuan mengambil kira perkembangan semasa akar umbi ketika Syed
Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil alih tampuk kepemimpinan KBS dengan melaksanakan had usia 35 tahun.
Syed Saddiq mengumumkan persetujuan melaksanakan had usia 35 tahun ketika ucapan Hari Belia Negara 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang disaksikan pemimpin belia.
Pada Julai tahun lalu, Akta 668 dibawa Syed Saddiq ke Dewan Rakyat untuk pindaan had usia belia daripada 40 kepada 30 tahun tanpa perbincangan akhir bersama MBM-KBS.
Presiden MBM meluahkan kekecewaan kerana beliau tidak dimaklumkan mengenai pembentangan penggubalan Akta 668 oleh KBS pada April, bahkan tidak dijemput bersama ke Parlimen.
Kini, berlaku pertukaran kerajaan dengan Menteri Belia dan Sukan baharu dilantik, iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga antara menteri mempunyai latar belakang dalam kepemimpinan pertubuhan belia. Beliau pernah mengemudi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) selaku presiden antara 2006 hingga 2009.
Beliau mendekati rapat isu penggubalan had usia belia dalam Akta 668 dan antara Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan penurunan had usia belia dalam Akta 668 ketika membahaskan akta berkenaan di Dewan Rakyat.
MBM memahami penurunan had usia belia daripada 40 kepada 30 tahun perlu dilakukan kerana DBM meletakkan perkara itu sebagai visi perlu dicapai. Kepemimpinan MBM mencadangkan dua perkara sebelum penurunan had usia belia dilakukan.
Pertama, menyediakan ruang kepada pertubuhan belia bernaung di bawah MBM untuk menubuhkan cawangannya pada peringkat sekolah menengah.
Namun, majoriti pertubuhan belia lain tidak mempunyai kelebihan terbabit. Ini menyebabkan pengkaderan kepemimpinan belia tidak dapat dilakukan dalam lingkungan usia 13 hingga 17 tahun.
Kedua, mewujudkan konsep pemimpin belia dalam Akta 668, iaitu konsep baharu yang merujuk kepada individu memegang jawatan dalam pertubuhan belia. Pemimpin belia boleh didefinisikan sebagai individu berusia 15 hingga 35 tahun, manakala belia pula didefinisikan individu berusia 15 hingga 30 tahun.
Melalui kewujudan konsep pemimpin belia dalam Akta 668, definisi belia dapat dilaksanakan tanpa bimbang mengenai isu pelapis kepemimpinan belia. Namun, perkara ini perlu diperhalusi kerana ia membabitkan persoalan undang-undang.
Diharapkan pihak KSB melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) membuat kajian meninjau kesiapsiagaan pertubuhan belia akar umbi untuk menyediakan pelapis bawah usia 30 tahun.
Penulis adalah Felo Penyelidik, Pejabat Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
Sumber : Siap siaga pelapis belia bawah usia 30
0 Comments